matlamat kewangan

3 Kategori Matlamat Kewangan

Isi Kandungan :

Seperti kereta yang dipandu, ada destinasi yang hendak dituju.

Begitu juga dengan kewangan peribadi. Kita mengira, buat bajet, simpan sebahagian gaji dan melabur sana-sini. Semua ini untuk mencapai matlamat kewangan masing-masing.

Matlamat dibahagikan kepada tiga (3) kategori berdasarkan horizon masa.

Matlamat Jangka Masa Pendek

Tempoh Masa: 1-3 Tahun

Berikut adalah beberapa matlamat jangka masa pendek yang ada.

1. Tabung Kecemasan

Mempunyai dana kecemasan berjumlah tiga (3) bulan pendapatan atau perbelanjaan adalah matlamat kewangan jangka masa pendek. Perlu dibina dalam dalam tempoh selama tiga (3) tahun atau secepat mungkin.

Mempunyai dana kecemasan 6 bulan, boleh jadi matlamat kewangan jangka masa sederhana. Jika ada impian atau pelan membuka bisnes akan datang, minima dana simpanan yang perlu ada adalah 12 bulan.

2. Pembelian Kereta

Nak beli kereta perlu ada bayaran muka (downpayment).

Kalau ada bayaran muka (downpayment) pastikan ikut Petua 20 : 5 : 10.

Pada yang mula bekerja, pegang petua ini. Perjalanan akan mudah untuk capai matlamat kewangan yang lebih besar.

  • 20 Peratus untuk bayaran deposit. Lagi banyak lagi bagus!
  • 5 Tahun sahaja diambil sebagai tahun pembiayaan. Jimat interest atau caj pembiayaan!
  • 10 Peratus sahaja bajet perbelanjaan untuk komitmen bulanan kereta. Tak fikir duit banyak habis ke kereta sahaja!

Apabila mempunyai kereta, ada kos-kos lain yang perlu difikirkan seperti kos minyak, kos perjalanan melalui tol, kos selenggara dan perlindungan takaful.

Perlu tahu, kos selenggara kereta Eropah lebih mahal berbanding kos selenggara kereta tempatan.

Kalau mampu beli kereta, pastikan mampu untuk bela kereta.

Kredit: Paultan

3. Perkahwinan

Soalan: “Bila saya perlu menyimpan untuk berkahwin? Saya belum mempunyai calon.”

Ha, macam mana nak jawab?

Mula seawal mungkin. Takkan la dah ada calon baru nak mula. Kan lebih mudah kalau duitnya dah ada tapi tinggal cari calon je.

Berapa nak simpan ni bergantung kepada besar mana majlis kita nanti. Kalau yang lelaki kena simpan lebih untuk bayar duit hantaran (Hantaran ini bergantung kepada budi bicara pasangan dan keluarganya). Berbincanglah elok-elok dengan bakal pasangan anda tentang bajet kahwin ini.

4. Melancong

Melancong ke luar negara contoh matlamat kewangan jangka masa pendek.

Tak salah mempunyai matlamat kewangan begini. Hidup mesti ada sisi seronoknya juga.

Cuma kena tahu mana ‘prioriti’ yang lebih utama.

Lebih baik menyimpan untuk melancong daripada melancong dengan berhutang.

5. Memiliki Pelan Takaful Peribadi

Memiliki pelan takaful adalah jenis matlamat kewangan jangka masa pendek. Akan tetapi, mempunyai pelan takaful adalah komitmen jangka masa panjang.

Pelan takaful adalah prioriti utama selepas tabung kecemasan.

Apabila sudah mempunyai pelan takaful, mudah hendak merancang matlamat kewangan lain seperti melabur.

Matlamat Jangka Masa Sederhana

Tempoh Masa: 3-10 Tahun

Matlamat yang boleh difikirkan:

  • Deposit rumah
  • Modal memulakan perniagaan
  • Modal pelaburan

Ada banyak lagi matlamat lain yang boleh dicapai samada secara ideal atau realistik dalam tempoh 3-10 tahun selain tiga di atas.

  • Perkahwinan, jika ingin kahwin lagi 3 tahun ke atas.
  • Persiapan merancang keluarga. Perlu tahu bahawa kos mempunyai anak boleh dikatakan tinggi buat masa ini.
  • Menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
  • Percutian panjang, misalnya percutian ke Eropah selama sebulan.

1. Deposit Rumah

Berapa banyak perlu simpan?

Banyak, banyak, banyak!

Sekurang-kurang 10 peratus dari harga rumah yang ingin dibeli. Itu belum masuk caj guaman lagi. Untuk lebih selamat, letakkan 15 peratus dari harga rumah sebagai matlamat kewangan deposit rumah.

Perlu tahu bahawa selain kos 10 peratus, ada kos lain yang perlu difikirkan.

  • Kos yuran guaman Sales & Purchase Agreement, dalam linkungan 3-4% daripada nilai hartanah.
  • Kos yuran guaman (guaman peguam bank), dalam linkungan 2.5 – 3% daripada nilai pembiayaan.
  • Kos valuasi iaitu 0.3% daripada nilai hartanah bakal dibeli.
  • Kos yuran proses untuk bank. Mungkin dalam linkungan RM50-RM200.

2. Modal Memulakan Perniagaan

Soalan yang kerap ditanya adalah, berapa modal diperlukan untuk memulakan bisnes?

Soalan ini umum. Jumlah modal sangat berkait rapat dengan model bisnes dan skala bisnes yang hendak dimulakan.

Sebaik-baiknya, mulakan perniagaan dengan modal serendah yang mungkin. Seminima mungkin. Belajar untuk jadikan RM1 ke RM2 dahulu. Modal yang disimpan ini boleh jadi modal untuk membesarkan perniagaan secara organik.

Ada juga berpendapat bahawa untuk kali pertama cuba jaya, boleh mula bisnes dengan RM2,000 dahulu. Anggap ini duit hangus. Kalau berjaya, teruskan. Kalau gagal, ini adalah ‘yuran kegagalan’ perlu diterima. Fahamkan selok-belok bisnes atau dapatkan ‘business wisdom’ dahulu.

3. Modal Pelaburan

Maksud modal pelaburan di sini lebih kepada pelaburan yang berskala besar dan berisiko. Misalnya pelaburan dalam pasaran saham.

Boleh mulakan dengan serendah RM1,000 dengan cara melabur di Unit Amanah. Tetapi matlamat jangka masa sederhana adalah mempunyai Portfolio Pelaburan berskala besar.

Cadangannya adalah RM50,000.

Kenapa RM50,000? Barulah mudah untuk mempunyai Portfolio Pelaburan yang jelas dari segi objektif dan strategi mandat khas.

4. Persiapan Merancang Keluarga

Ini lebih kepada dana simpanan untuk menyambut kelahiran anak.

Jangan pandang remeh matlamat kewangan ini. Tanyalah pada isteri, mahu sambut anak (baby deliver) di mana? Hospital awam atau hospital swasta? Kalau hospital swasta, mahu hospital bagaimana? Pakej bersalin pula bagaimana?

Bersalin di hospital swasta, sekurang-kurang kena ada RM5,000 ke atas. Ini kadar untuk bersalin secara normal. Belum lagi kes anak demam kuning atau memerlukan pembedahan secara caesarean.

Standby duit simpanan kita. Bukan standby kad kredit sahaja ya.

Matlamat Jangka Masa Panjang

Tempoh Masa: Lebih 10 Tahun

Ini antara contoh matlamat jangka masa panjang

  • Persaraan
  • Pendidikan untuk Anak-Anak
  • Legasi
  • Tabung Kecemasan Kritikal
  • Pergi Haji

1. Persaraan

Amaun persaraan yang diperlukan bergantung cara hidup yang kita pilih kelak. Ada banyak cara menentukan amaun persaraan.

Kunci menyimpan untuk persaraan adalah bermula awal. Ianya seawal kita ada rasa hendak bersara akan datang. Bermula awal banyak faedah iaitu dari segi ‘compounding effect’ pulangan pelaburan.

Umur muda (35 tahun ke bawah) adalah waktu yang sesuai merancang persaraan. Jika sudah ada KWSP sekalipun, jangan mengharapkan satu sumber sahaja. Banyakkan sumber. Fokus tingkatkan sumber pendapatan secara pasif.

2. Pendidikan

Pendidikan bermaksud menyimpan dana pendidikan untuk anak-anak kita. Ini juga bergantung pada kehendak kita, samada mahu hantar anak ke universiti dalam negara sahaja ataupun luar negara.

Dana pendidikan perlu bermula apabila mereka baru sahaja lahir di dunia.

3. Legasi

Legasi bermaksud persediaan menyediakan instrumen wakaf dimana akan memberi manfaat kepada ahli keluarga ataupun masyarakat sekeliling secara berterusan untuk tempoh lamanya.

Sebagai Muslim, merancang untuk amalan berterusan adalah digalakkan. Jadikan kisah Osman Bin Affan dimana waqaf beliau masih berjalan sehingga hari ini.

4. Pergi Haji

Kredit: Aleena

Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menjalankan rukun kelima Islam jika sudah cukup syarat-syaratnya.

Menunggu giliran haji dari Tabung Haji akan mengambil masa yang lama. Tarikh giliran seolah-olah tak masuk akal. Terlalu lama. Menunggu hingga umur cecah 100 tahun. Ambil inisiatif menyimpan dari awal.

Bukalah akaun Tabung Haji secepat mungkin. Simpanlah sedikit dan daftar giliran haji.

Kesimpulan

Setiap orang mempunyai matlamat kewangan berbeza-beza.

Ada yang menganggap pelancongan sekitar Asia Tenggara sudah memadai. Ada mengatakan pelancongan ke Eropah adalah impian perlu dipenuhi. Jadi matlamat berbeza-beza dari segi ‘harga’.

Oleh itu, tiada istilah berlumba-lumba siapa dulu beli rumah dan mempunyai kereta. Kita sendiri yang tetapkan matlamat, rangka perjalanan dan tentukan bila mahu sampai di garisan matlamat.

Jangan stress tengok kehidupan orang lain. Fokus pada matlamat diri sendiri sudah mencukupi

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.