nisbah kewangan

8 Nisbah Kewangan Peribadi Anda Perlu Tahu

Isi Kandungan :

Nak ukur tahap kesihatan individu, ada beberapa data yang kita boleh lihat seperti:

  • Body Mass Index, BMI – pengiraan menggunakan berat badan dan tinggi bagi melihat samada dalam keadaaan normal atau obesiti.
  • Blood Pressure, BP – pengiraan kadar tekanan darah melihat bahawa badan berfungsi dalam keadaan baik atau tidak.
  • Kadar Denyutan Jantung – pengiraan degupan jantung seminit dalam keadaan rehat
  • Suhu Badan – melihat suhu badan dalam keadaan optimum, tidak terlalu panas.

Dalam kewangan peribadi pula, nisbah kewangan peribadi boleh digunakan untuk mengukur tahap kesihatan kewangan individu. Mari kita lihat apakah nisbah-nisbah tersebut.

1. Nisbah Kecairan (Liquidity Ratio)

Nisbah ini menunjukkan berapa bulan kita boleh survive tanpa sebarang pendapatan.

Cara mengira nisbah kecairan:

  1. Senarai dan jumlahkan kesemua aset-aset tunai.
  2. Senaraikan dan jumlahkan kesemua perbelanjaan bulanan.
  3. Bahagi jumlah nilai aset tunai kepada jumlah perbelanjaan bulanan.
  4. Jika angka bawah 3, bermaksud kita tidak boleh survive bawah 3 bulan. Sebaiknya 3-6 bulan, lebih tinggi lebih baik.

Nisbah kecairan = Jumlah aset tunai / jumlah perbelanjaan bulanan

Ini adalah ‘insuran’ pertama kita perlu ada jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti diberhentikan kerja serta merta. Nisbah ini umpama simpanan kecemasan paling cepat. Kalau ada nisbah sampai 6 bulan, bermaksud ada 6 bulan masa untuk mencari kerja baru.

Nisbah ini menunjukkan berapa lama kita boleh survive tanpa mengambil duit-duit pelaburan kita.

2. Nisbah Kecairan Siap Sedia (Standby Liquidity Ratio)

Nisbah kecairan siap sedia = (Jumlah aset tunai + jumlah pelaburan berbentuk tunai) / jumlah perbelanjaan bulanan

Contoh pelaburan berbentuk tunai seperti Amanah Saham dan ASB. Ia adalah pelaburan yang mudah dicairkan.

Aset pelaburan jangka masa pendek atau mempunyai kadar kecairan yang tinggi mampu membantu individu dalam situasi yang sukar. Oleh sebab itu juga, mempunyai aset kecairan tinggi sangat penting berbanding aset yang sukar untuk ditukarkan kepada tunai seperti hartanah rumah pangsa, kondominium dan pemilikan tanah.

3. Nisbah Simpanan (Savings Ratio)

Nisbah ini menunjukkan berapa kita sudi simpan untuk masa depan.

Nisbah simpanan = Jumlah simpanan bulanan / Pendapatan Kasar

Minima cuba capai 10 peratus. Semakin tinggi semakin bagus.

4. Nisbah Aset Cair Kepada Nilai Bersih (Liquid Assets to Networth Ratio)

Pernah dengar orang kata, ‘cash is king’?

Sebelum tahu nisbah itu, kenalah faham dahulu apa itu Aset Cair atau Liquid Asset.

Apabila sudah memahami apa itu Aset Cair atau Liquid Asset, kita akan memahami bahawa aset seperti tunai memainkan peranan penting. Oleh sebab itu, nisbah ini diperkenalkan.

Nisbah ini memberitahu peratus aset mudah cair dalam portfolio kewangan kita.

Sebab itu, simpanan kecemasan perlu ada. Paling penting, simpanan kecemasan itu dalam bentuk tunai. Senang untuk diakses dalam masa 24 jam. Mempunyai simpanan kecemasan yang besar adalah sangat membantu apabila situasi genting berlaku.

Ini juga sangat penting ketika berlaku kematian pada diri kita. Akses tunai kepada waris untuk tujuan pengebumian atau hutang-piutang yang perlu disegerakan dalam masa sebulan, dana kecemasan memainkan peranan yang sangat besar.

Nisbah aset cari kepada nilai bersih = Jumlah nilai aset mudah cair (tunai) / nilai bersih

Minima 15 peratus. Jika terlalu rendah, bermaksud aset yang kita pegang banyak jenis lambat dicairkan.

Sebab itu orang kata, ‘cash is king’.

Perlu diingatkan, mempunyai dana tunai (atau aset mudah cair) yang banyak, tidak baik kerana simpanan dalam bentuk tunai tidak memberikan pulangan yang tinggi.

Ini disebut sebagai Opportunity Cost, di mana duit itu boleh memberi pulangan lebih tinggi jika dilaburkan berbanding hanya dalam bentuk tunai semata-mata.

5. Nisbah Hutang kepada Aset (Debts to Assets Ratio)

Nisbah ini menunjukkan pengukuran jumlah hutang terhadap aset yang dimiliki.

Nisbah Hutang Kepada Aset = Jumlah Hutang / Jumlah Aset

Jika ada hutang RM1, tetapi mempunyai harta RM2. Nisbahnya adalah 1/2, iaitu 50%. Bermaksud, individu ini mempunyai jumlah hutang separuh daripada nilai aset.

Oleh itu, nisbah ini membantu menunjukkan kemampuan kita membayar semula hutang-hutang menggunakan aset sedia ada.

Ia boleh memberi gambaran sama ada kita senang nak muflis atau lambat nak muflis atau sukar nak muflis.

Istilah over-gearing atau terlebih berhutang untuk membiayai pemilikan harta juga merujuk kepada interpretasi daripada nisbah ini.

Individu 1

  • Nilai hutang: RM50,000
  • Nilai harta: RM90,000
  • Nisbah: 55%

Individu 2

  • Nilai hutang: RM60,000
  • Nilai harta: RM180,000
  • Nisbah: 33%

Individu 3

  • Nilai hutang: RM30,000
  • Nilai harta: RM20,000
  • Nisbah: 150%

Perbandingan ketiga-kita individu di atas, boleh lihat Individu 1 mempunyai hutang kurang berbanding Individu 2, tetapi situasi kewangan beliau adalah kritikal kerana nilai harta dimiliki tidak mampu menampung hutang yang diambil.

Begitu juga dengan Individu 3. Hutang sedikit dibandingkan dengan Individu 1 & Individu 2 tetapi memberi gambaran sangat berisiko kerana mengambil hutang melebihi nilai harta yang dimiliki.

Jika lebih 50 peratus, cepat-cepat buat program selesai hutang atau jumpa AKPK sebagai langkah drastik.

Jika bawah 50 peratus, itu baik.

Bawah 30 peratus, itu sangat baik.

6. Debt Service Ratio

Nisbah ini adalah kayu ukur kemampuan seseorang membayar perbelanjaan tetap hutang-piutang dengan pendapatan utama yang diterima.

Nisbah ini popular dipakai kalangan rakyat Malaysia apabila memohon pembiayaan atau pinjaman.

Semua orang tahu, pemberian pembiayaan kewangan / pinjaman hanya boleh diberi kepada individu yang mampu untuk membayar semula hutang-piutang. Oleh itu, ramai pihak pemberi pembiayaan/pinjaman (bank-bank) menggunakan nisbah ini untuk mengetahui kemampuan individu tersebut.

Antara pembayaran hutang yang dikira di bawah nisbah ini:

  • Bayaran pembiayaan rumah
  • Bayaran pembiayaan kereta
  • Bayaran minimum kad kredit yang perlu
  • Bayaran PTPTN
  • Bayaran pembiayaan peribadi

DSR = Jumlah bayaran hutang bulanan / pendapatan bersih x 100

Kadar DSR sepatutnya tidak lebih 40% dari jumlah pendapatan.

Lagi rendah lagi bagus.

Boleh cuba juga kalkulator DSR ini.

7. Nisbah Nilai Aset Pelaburan dan Nilai Bersih (Net Investments to Networth Ratio)

Untuk nisbah ini, perlu tahu aset apa yang masuk dalam kategori aset pelaburan. Boleh sahaja kesemua aset dimasukkan dalam kategori aset pelaburan kecuali aset yang digunakan untuk diri sendiri. (Boleh baca artikel Jenis-jenis aset untuk faham lebih lanjut)

Sebagai panduan, aset-aset di bawah ini boleh diklasifikasikan sebagai aset pelaburan:

  • Pegangan ekuiti / saham
  • Pegangan sukuk
  • Tunai di tangan
  • Tunai di bank
  • Duit dalam Unit Amanah
  • Duit dalam Nilai Tunai Takaful (Cash Value)
  • Hartanah untuk pelaburan
  • Emas untuk pelaburan
  • Exhange Traded Fund (ETF)
  • Real Estate Investment Trust (REIT)
  • Dan lain-lain yang seangkatan dengannya.

Nisbah Nilai Aset Pelaburan dan Nilai Bersih = JumlahAset Pelaburan / Nilai Bersih.

Cadangan, sebaik-baiknya 50 peratus ke atas. Memberi gambaran kita memiliki aset yang ‘bekerja keras’ untuk mendapatkan pendapatan lebihan dalam bentuk keuntungan pelaburan, dividen dan nilai modal (capital appreciation).

8. Nisbah Semasa (Current Ratio)

Nisbah ini biasanya dipakai untuk membuat analisa kewangan sesebuah syarikat untuk mengetahui kemampuan untuk membayar balik hutang jangka masa pendek dengan hanya menggunakan tunai yang sedia ada.

Nisbah semasa = Jumlah Tunai dan Aset Berbentuk Tunai / Jumlah Hutang Jangka Masa Pendek.

Hutang Jangka Masa Pendek seperti berikut:

  • Hutang-hutang kad kredit
  • Hutang overdraf
  • Hutang orang lain (jika amaunnya kecil)
  • Zakat belum dilunaskan
  • Cukai belum dibayar (perlu dikategorikan sebagai liabiliti)

Cadangan, semakin besar angka, semakin bagus.

Topik seterusnya: 3 Kategori Matlamat Kewangan

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.