kebebasan kewangan

Bagaimana Nak Capai Kebebasan Kewangan

Isi Kandungan :

Apa gambaran yang keluar dalam kepala anda bila bercakap tentang kebebasan kewangan?

Mungkin ada yang bayangkan bangun pagi lepak tepi kolam renang sambil minum jus oren macam dalam drama TV3. Ada yang bayangkan duit berkepuk-kepuk. Ada yang bayangkan dapat melancong ke mana sahaja yang dia mahu.

Kalau anda Google kebebasan kewangan, kebanyakan gambar yang keluar adalah gambar orang sedang baring santai-santai di tepi pantai.

Dan itulah apa yang digambarkan oleh kebanyakan orang. Satu kehidupan yang bebas dari masalah, terutamanya masalah wang.

Apa itu kebebasan kewangan?

Kebebasan kewangan bermaksud kita memiliki kekayaan yang mencukupi untuk menampung kehidupan tanpa kita perlu berkerja.

Ia bukan tentang gaya hidup. Tak semestinya perlu nampak kaya baru capai kebebasan kewangan.

Ada sahaja yang pakai kereta biasa-biasa, hidup tidak bermewah, tapi hartanya cukup untuk menampung keperluan hidupnya. Bangun pagi tak perlu tergesa-gesa nak pergi kerja, masuk waktu solat boleh ke surau.

Antara contoh dah capai kebebasan kewangan adalah orang pencen kerajaan, tak perlu kerja pun duit masuk setiap bulan. Adakah semua orang pencen itu kaya? Tidak semestinya. Adakah mereka dah capai kebebasan kewangan? Kemungkinan besar ya. Kecuali pencen mereka tidak mampu tampung gaya hidup mereka.

Kenapa orang nak capai kebebasan kewangan?

Kebiasaanya ada 2 sebab.

Yang pertama, mereka mahukan kebebasan. Kebebasan mengawal masa mereka. Kebebasan untuk buat aktiviti yang mereka suka, yang beri tujuan dalam hidup.

“Seperti Warren, saya nak jadi kaya bukan sebab saya nak beli Ferrari. Saya mahukan kebebasan. Saya amat mahukannya”

Charlie Munger

Munger capai kebebasan kewangan pada umur 38. Adakah beliau tidak bekerja dan duduk terlopong sahaja selepas itu? Tidak. Beliau berhenti kerja sebagai peguam dan menyertai Warren Buffet untuk mengejar minat beliau dalam bidang pelaburan. Dan beliau terus bekerja sehingga ke hari ini (umur sekarang 97 tahun).

Mungkin anda ada minat dalam bidang tertentu, yang anda ingin usahakan. Nak jadi petani dan usahakan tanah warisan? Nak jadi pelukis komik? Nak jadi pemuzik? Nak fokus kerja kebajikan? Atau apa sahaja yang beri tujuan dan makna dalam hidup.

Ya, anda boleh lakukan ini di waktu lapang, selepas waktu kerja. Tapi untuk buat sepenuh masa, anda perlukan kawalan penuh terhadap masa anda. Bagaimana nak ada kawalan penuh? Anda perlu capai kebebasan kewangan.

Kedua, ada yang nak capai kebebasan kewangan secepat mungkin disebabkan mereka benci kerja mereka.

Mereka tak jumpa tujuan sebenar kenapa mereka bekerja. Tak jumpa makna dalam pekerjaan. Kerja mereka tidak mencabar mereka. Suasana kerja dan majikan yang tidak menyeronokkan. Atau terpaksa bekerja terlampau lama sehingga tiada masa untuk keluarga dan aktiviti lain.

Sebab itu mereka mahukan kebebasan. Saya sendiri pernah lalui perkara ini, kerja dari jam 8 pagi sampai 8-10 malam. Sampai 12 malam pun ada. Pergi gelap, balik gelap. Buat kerja semata-mata untuk dapat gaji. Gagal mencari makna dalam pekerjaaan.

Ketika itu, perasaan nak capai kebebasan kewangan membuak-buak dalam jiwa saya. Adakah saya dah berjaya capai kebebasan kewangan? Belum lagi. Tapi apa yang saya buat?

Saya cari kerja lain. Kerja yang memberi makna dan nilai kepada hidup saya. Saya korbankan gaji tinggi dan beralih kepada gaji yang rendah sedikit berbanding kerja sebelum ini.

Walaupun dengan langkah ini sebenarnya perjalanan nak capai kebebasan kewangan jadi semakin panjang, tapi saya gembira dengan keputusan saya. Saya ada lebih masa, saya suka apa yang saya buat sekarang. Sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang Ringgit.

Saya akui, tidak semua orang mampu dapatkan kerja yang mereka minat dan beri makna lebih besar dalam hidup. Tapi berusahalah, kehidupan adalah satu perjalanan. Usaha sampai dapat. Kenal pasti apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup ini.

Formula Kebebasan Kewangan

Berbalik semula kepada cerita kebebasan kewangan (jauh pula terbabas kan). Berapa kita perlukan untuk capai kebebasan kewangan?

Formulanya ringkas sahaja. Ada dua perkara anda perlu tahu:
i) Berapa belanja tahunan anda
ii) Berapa pulangan pelaburan

Belanja tahunan ni bergantung kepada gaya hidup anda. Ada yang perlu RM30,000 setahun, ada yang perlu RM100,000 setahun. Lagi tinggi selera lagi tinggi amaunnya.

Untuk pulangan pelaburan pula, untuk selamat saya letakkan 5% setahun. Kalau ada kemahiran boleh dapat 10-20% setahun.

Contoh kita perlukan RM5,000 sebulan, setahun bersamaan RM60,000.

Amaun kebebasan kewangan = Belanja tahunan / pulangan pelaburan
= RM60,000 / 5%
= RM1,200,000

Ataupun bersamaan 20 kali gaji tahunan.

Inilah matematik nak capai kebebasan kewangan. Bagaimana nak capai jumlah tersebut? Ada 1001 cara, boleh berniaga, dapatkan gaji yang tinggi atau melabur.

Walau bagaimanapun, ada satu formula asas yang perlu kita patuhi. Iaitu belanja di bawah kemampuan, simpan lebihan pendapatan dan laburkan lebihan simpanan. Ini sahaja, ulang sehingga capai kebebasan kewangan.

simpan & labur

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.