LaburSantai
piramid

Bagaimana Piramid Kewangan Membantu Kewangan Anda

Isi Kandungan :

Untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat, ada piramid makanan sebagai panduan. Samalah juga untuk pengurusan wang, ada piramid kewangan sebagai panduan.

Ditambah pula pada hari ini hampir 73% rakyat Malaysia langsung tidak memiliki simpanan hatta RM1000 sekalipun.

Bukan setakat itu sahaja, pembaziran makanan yang dibuat rakyat Malaysia terutamanya pada bulan Ramadan adalah amat membimbangkan. Bermakna setiap makanan yang dibuang itu terkandung pembaziran duit.

Apabila pembaziran duit berlaku terutamanya pada makanan, kita sendiri tidak akan sedar sehingga duit susut.

Jadi nak atasi masalah ini, boleh gunakan piramid kewangan.

Apa Itu Piramid Kewangan

Piramid kewangan dicipta bagi membantu anda menguruskan wang dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Secara asasnya terdapat 3 lapis perkara dalam piramid kewangan iaitu perlindungan, simpanan dan pelaburan.

Bermula perlindungan di bawah, simpanan di tengah dan pelaburan di bawah.

piramid kewangan
Piramid Kewangan

Kenapa bentuknya begitu pula, adakah perlindungan tidak penting kerana terletak di bawah?

Konsepnya sama sahaja seperti piramid makanan, di mana perkara paling penting terletak di bawah. Jika perkara itu diabaikan, maka akan runtuhlah segalanya.

Ayuh lihat satu per satu.

1. Perlindungan

Perlindungan merupakan aspek paling penting dalam piramid kewangan. Boleh diibaratkan perlindungan adalah tapak asas kepada bangunan. Tiada perlindungan, bangunan akan goyah.

Hal ini penting kerana jika kita ditimpa sebarang musibah seperti kematian, hilang upaya kekal dan sakit kritikal, duit perlindungan yang akan membantu kita untuk terus hidup di masa hadapan.

Kadangkala, perkara sedemikian kita tidak pernah minta untuk terjadi dan tidak tahu bila akan terjadi. Maka perlindungan perlu dibuat terlebih dahulu sebagai benteng. Antara bentuk perlindungan yang boleh diambil adalah:

Kad Perubatan

Kad perubatan berfungsi untuk membantu pencarum mendapatkan rawatan daripada hospital-hospital terpilih.

Bagi mendapatkan kad perubatan, anda perlu membayar sejumlah amaun kepada takaful secara bulanan. Selepas itu syarikat takaful akan mengeluarkan kad perubatan yang memudahkan anda mendapatkan rawatan daripada hospital terpilih tanpa melakukan apa-apa bayaran.

Pihak takaful akan membayar kos rawatan kepada hospital berdasakan polisi yang anda ambil.

Hibah Takaful

Hibah takaful adalah pemberian hadiah dalam bentuk nilai pampasan kepada penerima hibah yang telah ditetapkan oleh pencarum.

Senang cerita jika berlaku kematian secara mengejut, wang yang dicarumkan akan menjadi milik waris si mati serta merta. Hibah takaful juga tidak akan difaraidkan.

Jadi ambil hibah takaful sebagai persediaan untuk ahli keluarga menjalani kehidupan dikemudian hari.

2. Simpanan

Setelah tapak sudah kukuh, barulah boleh beralih dengan tenang kepada lapis kedua iaitu simpanan. Sebelum nak buat apa-apa simpanan, fokuskan diri dulu membina dana kecemasan.

Dana kecemasan boleh dibina melalui pemotongan 10% sehingga 30% gaji untuk disimpan. Jumlah wang yang dibina untuk dana kecemasan mestilah minimum 3 bulan gaji dan lebih elok 12 bulan gaji.

Bagi mengelakkan dana kecemasan digunakan dalam masa terdekat, boleh simpan di akaun bank yang tidak pernah disentuh dan sukar dikeluarkan.

piramid kewangan: kecemasan

Jika tidak mampu menyimpan hatta 10% daripada pendapatan sebulan sekalipun, boleh cuba simpan sebanyak RM50 sebulan. Apabila sudah selesa dan konsisten boleh tingkatkan jumlah wang yang mahu disimpan sedikit demi sedikit.

Dengan adanya dana kecemasan, wang itu dapat membantu andai kata kita secara tiba-tiba diberhentikan kerja. Wang tersebut boleh digunakan untuk menampung hidup kita untuk beberapa bulan akan datang sebelum mendapatkan pekerjaan baru.

Selain itu, pelbagai jenis simpanan boleh dibuat iaitu simpanan persaraan, simpanan pendidikan untuk anak-anak dan simpanan peribadi bagi membeli produk kegemaran seperti iphone 13 Pro Max.

3. Pelaburan

Selepas lama menyimpan, katakanlah terdapat lebihan yang tidak tahu dipakai untuk apa. Nak habiskan dengan penuhi nafsu berbelanja, takut membazir dan sia-sia. Jika tidak digunakan pula, nilai wang akan susut dan semakin kecil kerana inflasi.

Maka boleh jadikan lebihan wang itu sebagai pelaburan. Walau bagaimanapun, setiap pelaburan mesti didasari dengan matlamat supaya dapat mencapai apa yang dimahukan. Pemilihan pelaburan adalah amat penting agar sesuai dengan tahap kewangan dan kemampuan kita.

Untuk itu, dalam piramid kewangan terdapat dua jenis pelaburan iaitu:

Pelaburan Jangka Masa Pendek (Bawah 5 tahun)

Bagi pelaburan jangka pendek, tidak digalakkan untuk melabur dalam instrumen berisiko tinggi seperti saham. Ini kerana pelaburan seperti saham, amanah saham (unit trust) dan kripto sentiasa turun naik dalam jangka pendek.

Untuk tempoh yang pendek mungkin pelaburan anda tidak sempat untung lagi. Sebab itu digalakkan untuk labur dalam instrumen berisiko rendah seperti ASB.

Dengan ASB, kita boleh memasukkan wang seberapa banyak yang boleh tetapi tidak melebihi RM200,000. Kita juga bebas memasukkan duit pada bila-bila masa yang ingini.

Dividen tahunan ASB juga konsisten dan tidak akan kurang daripada nilai fixed deposit Maybank. Di tambah pula, setiap unit saham berharga tetap RM1 dan segala kerugian dijamin kerajaan.

Senang cerita, RM10,000 yang dilaburkan sebagai contoh tidak akan berkurangan dan bertambah berdasarkan berapa dividen pada tahun tersebut.

Selain ASB, kita ada Tabung Haji, Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), ASB2 dan deposit tetap (fixed deposit)

Pelaburan Jangka Masa Panjang (Lebih 5 tahun)

Untuk pelaburan jangka panjang, kita boleh ambil risiko yang lebih tinggi. Tempoh masa yang panjang membolehkan kita menahan kerugian seketika untuk keuntungan jangka panjang.

piramid kewangan: pelaburan
Kredit: Behavior Gap

Contoh instrumen pelaburan yang sesuai untuk jangka panjang adalah saham, unit trust, ETF, Robo-advisor dan REITs.

Kepentingan Pengurusan Kewangan

Apabila sudah memahami piramid kewangan, barulah kita dapat mengurus kewangan dengan lebih baik.

Pengurusan kewangan yang betul amat penting bagi mengelakkan kita terjerumus dengan masalah hutang atau perkara-perkara di luar jangkaan.

Tambahan pula, kita akan cepat mengenalpasti di mana perbelanjaan yang memenuhi keperluan dan pembaziran. Jika perancangan kewangan sudah dibuat tetapi masih lagi tidak dapat membantu mengurangkan perbelanjaan, menambah pendapatan adalah jawapan yang paling tepat.

Jadi masalah kewangan di pertengahan bulan akan semakin kurang berlaku dan simpanan dapat dibina untuk waktu-waktu sukar.

Kesimpulannya, piramid kewangan boleh menjadi panduan asas dalam perancangan kewangan kita.

Dengan adanya piramid kewangan, kita akan mendapat asas yang kukuh untuk memastikan wang pergi ke tempat sepatutnya. Paling tidak pun, kita masih mampu bertahan dalam tempoh sebulan dua jika berlaku kecemasan.

Tunggu apa lagi, ayuh bina piramid kewangan dan mula merancangan kewangan dengan lebih berhemah.

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.