perbelanjaan

Jenis-Jenis Perbelanjaan

Isi Kandungan :

Perbelanjaan adalah aktiviti yang mengeluarkan wang daripada poket diri sendiri. Fokus utama dalam perancangan kewangan adalah mempunyai wang lebihan. Ada tiga cara klasik untuk memastikan setiap bulan mempunyai wang lebihan:

  • Cara Pertama : Meningkatkan nilai pendapatan melebihi perbelanjaan.
  • Cara Kedua : Mengurangkan nilai perbelanjaan kurang daripada pendapatan.
  • Cara Ketiga : Meningkatkan pendapatan dan pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan.

Cara pertama adalah cara sepatutnya dilakukan tetapi cara ini akan mengambil masa.

Untuk mendapatkan pekerjaan baru, ada proses seperti menghadiri temuduga dan jika sudah dapat kerja perlu menunggu bayaran gaji pada hujung bulan. Dan bukan mudah nak naik gaji kalau kita tiada kemahiran yang bernilai, nak bina kemahiran ambil masa.

Individu yang berniaga pula, perlu lancarkan kempen pemasaran terlebih dahulu barulah jualan itu meningkat. Bukan satu kempen terus berjaya, mungkin selepas 5-6 kempen barulah jualan meningkat.

Cara kedua iaitu kawal dan kurangkan perbelanjaan adalah cara cepat untuk memperbetulkan kedudukan kewangan. Secara normal, senarai perbelanjaan lebih banyak daripada senarai pendapatan. Baik kenali dulu jenis-jenis perbelanjaan yang sedia ada.

Perbelanjaan Kehendak & Keperluan

Perbelanjaan keperluan (need) adalah perbelanjaan yang benar-benar diperlukan untuk menerus kelangsungan hidup. Jika tidak dilakukan, akan menyebabkan kehidupan tergendala.  

Manakala, perbelanjaan kehendak (want) adalah perbelanjaan semata-mata untuk kepuasan diri atau menambahbaik apa yang sedia ada.

need vs want
Kredit: Blendspace

Perbelanjaan Keperluan: Pembelian barang atau servis yang sangat diperlukan untuk memastikan kelangsungan kehidupan kita.

Contohnya; perbelanjaan makanan, pakaian, tempat tinggal, elektrik dan air.

Perbelanjaan Kehendak: Pembelian barang atau servis yang ada untuk memberi kepuasan kepada kita. Tanpanya, kita masih mampu hidup.

Contohnya; makan malam di luar, baju berjenama, kereta buatan Eropah (tapi hakikatnya hanya mampu kereta tempatan). Perbelanjaan ini perlu dikawal.

Sebelum berbelanja, ambil satu kertas dan senaraikan dahulu barang-barang yang hendak dibeli. Lihat senarai tersebut.

Letak tangan di dada dan tanya samada barang yang hendak dibeli adalah suatu keperluan atau kehendak semata-mata.

Membezakan keperluan dan kehendak, perlu tahu pada situasi diri sendiri. Seorang jurukamera, iPhone 12 dengan kamera berkualiti tinggi adalah keperluan tapi kemahuan bagi yang hendak berswafoto semata.

Dulunya, telefon bimbit adalah kemahuan dan menjadi status kekayaan. Hari ini berlainan situasi, hampir setiap orang mempunyai telefon pintar. Sudah menjadi satu keperluan.

Contoh-contoh membezakan Keperluan & Kehendak

Nasi lemak biasa adalah keperluan. Nasi lemak ayam rendang dan telur mata adalah kemahuan. (Asas nasi lemak adalah sambal, timun telur dan nasi)

Minuman coklat Milo adalah keperluan. Minuman coklat ice-blended dan krim di atas beserta ceri adalah kemahuan.

Kereta MyVi adalah keperluan. Kereta MyVi dan terus tukar sport rim 20 dan ekzos Akra selepas beli adalah kemahuan.

Perbelanjaan Tetap, Berubah & Pilihan

Setelah mengenal pasti sama ada perbelanjaan itu satu keperluan atau kehendak, barulah mudah untuk tugas mengurus kewangan.

Sebaik-baiknya kawal, kurangkan atau elakkan terus perbelanjaan kehendak jika mahu memperbaiki keadaan kewangan.

Selepas itu kenal pasti setiap jenis perbelanjaan melalui tiga kategori. Ketiga-tiga kategori ini akan dimasukkan ke dalam kolum perbelanjaan (outflow) di penyata aliran tunai.

jenis perbelanjaan

Perbelanjaan Tetap: Jumlahnya sama setiap bulan. Contoh; pembiayaan rumah, pembiayaan kereta, caruman takaful.

Perbelanjaan Boleh Ubah: Jumlah tidak tetap. Contoh lazim; makanan, baju, telefon (kecuali ambil langganan tetap), barang keperluan.

Perbelanjaan Pilihan: Jenis perbelanjaan bukan keperluan tapi kemahuan. Nice-to-have. Menonton wayang, langganan TV (senarainya terlalu banyak).

Perbelanjaan keperluan kebiasaannya akan masuk di bawah kategori perbelanjaan tetap atau boleh ubah. Ini bergantung kepada nilai bayaran setiap bulan atau tahunan. Nilai sama dan konsisten, masuk kategori Perbelanjaan Tetap. Jika berubah-rubah, masuk kategori Perbelanjaan Boleh Ubah.

Perbelanjaan kehendak selalunya termasuk dalam perbelanjaan pilihan, dimana kita mempunyai pilihan samada mahu berbelanja atau tidak.

Yuran keahlian gym kesihatan adalah perbelanjaan keperluan bagi seorang fitness trainer dan perlu diletakkan di bawah perbelanjaan tetap.

Jika pergi gym sekali dua sebulan dan banyak skip, secara automatik jatuh bawah perbelanjaan kehendak dan pilihan.

Disarankan supaya perbelanjaan tetap tidak lebih 33.33% (1/ 3) daripada jumlah pendapatan. Sebagai contoh, jika pendapatan bulanan adalah RM3,000 sepatutnya setiap bulan hanya berbelanja RM1,000 sahaja. Ini untuk memastikan kita tidak terasa sesak.

Topik seterusnya: Cara Tracking Perbelanjaan

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.