LaburSantai
pendapatan pasif

Jenis-jenis Sumber Kewangan

Isi Kandungan :

1. Bekerja – Mempunyai Majikan

Majoriti orang mendapatkan sumber kewangan dengan bekerja. Maksud kerja di sini iaitu mempunyai majikan atau bos. Kerja kita boleh jadi kerja sepenuh masa atau separuh masa.

i) Sepenuh Masa (full time)

Walaupun anda berhempas pulas untuk majikan anda bekerja – tidur bawah mesin ke, datang gelap balik gelap ke, kalau sampai waktunya kena buang / tak diperlukan, itu normal. Itulah hakikat yang perlu diterima.

Kalau dapat majikan yang tidak baik dan adil, usaha cari majikan yang lain. Hidup ini ada pilihannya. Kalau gaji tidak memuaskan, tambah nilai diri untuk dapatkan tawaran gaji yang lebih. Tidak guna untuk kita mengeluh sepanjang masa tanpa sebarang usaha.

Apa-apa pun, buat yang terbaik untuk diri sendiri. Niatkan untuk ibadah, bukan semata-mata gaji, gaji, gaji.

ii) Separuh Masa (part time)

Sumber kedua alternatif untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Waktu kerja tidak seperti pekerja sepenuh masa yang memerlukan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Mungkin hanya 2-3 jam sahaja setiap hari.

Zaman sekarang ada 2 kerja ni bukanlah perkara yang asing. Siang di pejabat, malam buat kerja separuh masa (freelancing). Ada yang memang terpaksa buat 2 kerja kerana tidak cukup duit, ada yang mencari duit tambahan untuk tambah simpanan.

2. Bekerja Sendiri/Bisnes dalam skala kecil

Kerja yang tidak terikat dengan aturan kerja. Diri sendiri yang menentukan hala tuju kerja. Diri sendiri adalah ketua kepada perniagaan sendiri. Ada model bisnes boleh dilakukan dari rumah.

Walaupun tidak terikat dengan masa, bekerja sendiri / bisnes kecil ini perlu sentiasa berada dalam bisnes tersebut. Jika demam atau bercuti, alamat habislah bisnes, terputuslah pendapatan.

Perkara paling utama bila berkerja sendiri ni adalah disiplin. Tiada bos minta kemas kini, tiada kad penebuk (punch card). Semuanya bergantung kepada disiplin.

3. Bisnes

Bisnes yang dilakukan dalam skala besar. Mempunyai sistem yang teratur dan pekerja. Diri sendiri tidak perlu ada di ruang bisnes kerana perniagaan boleh berjalan dengan sendiri.

Sebagai permulaan cari bisnes bermodal rendah. Belajar buat seringgit dahulu. Kemudian sepuluh, seratus, seribu, sepuluh ribu. Contohnya, buat bisnes permulaan RM300 dulu. Jika gagal dalam enam bulan pertama, ruginya hanya RM300 sahaja. Jangan terus buka kedai, keluar modal berpuluh ribu, bila bisnes tidak menjadi kepala jadi serabut.

Jangan lihat kepada mereka yang berjaya sahaja, lihat juga kepada mereka yang gagal. Lawatilah tanah perkuburan, tengok juga mereka yang gagal. Hakikatnya lebih ramai yang gagal pada fasa awal bisnes. 90% bisnes kecil tutup dalam tempoh 3-5 tahun.

4. Pelabur

Pelabur adalah kategori mendapatkan pendapatan melalui hasil keuntungan tanpa perlu berada di tempat kerja atau terlibat secara aktif.

Menjadi pelabur adalah idaman setiap orang. Tapi perlu beringat, sebagai seorang pelabur anda perlu bijak memahami soal risiko. Jangan asyik fikir untung, untung dan untung sahaja. Kawal risiko lebih penting daripada mengejar keuntungan.

Kita boleh jadi pelabur walaupun masih bekerja dengan majikan.

Pendapatan yang dapat melalui menjadi pelabur boleh jadi pendapatan yang pasif. Jika menjadi pelabur sepenuh masa, pendapatan itu boleh dikategorikan sebagai pendapatan aktif.

jenis pendapatan

Pendapatan Aktif & Pasif

Jenis-jenis pendapatan boleh dipecahkan kepada 2 kategori:

  • Pendapatan Aktif – individu perlu berada di situ untuk mempunyai pendapatan.
  • Pendapatan Pasif – individu tidak perlu berada disitu tetapi masih menerima pendapatan.

Orang minda biasa memfokuskan berapa gaji (pendapatan aktif) yang mereka dapat. Orang minda luar biasa memfokuskan pendapatan pasif, seperti dividen dan pulangan pelaburan.

Sebagai manusia, kita mempunyai batas masa & tenaga. Kita tidak boleh bekerja 24 jam sehari. Badan kita memerlukan rehat yang cukup untuk pencernaan makanan dan penerimaan nutrisi.

Rata-rata, mempunyai kerja hakiki 8 pagi hingga 5 petang untuk mempunyai pendapatan tetap. Jika ingin mempunyai lebihan pendapatan, ada yang sanggup mempunyai bisnes sampingan seperti menjadi guru pusat tuisyen, ejen produk kewangan atau berniaga jual burger.

Pastinya ini memenatkan untuk jangka waktu yang panjang. Tahap kesihatan boleh merosot jika tidak mendapat rehat dari segi tidur yang mencukupi.

Oleh kerana itu, adalah digalakkan setiap orang memfokuskan mempunyai pendapatan pasif. Kita tidak perlu berhempas pulas perah keringat setiap hari. Masa lapang boleh diluangkan bersama keluarga dan melakukan hobi yang digemari. Pada masa yang sama, masih dapat menikmati pendapatan yang secukupnya.

Mempunyai pendapatan pasif yang banyak adalah gaya kehidupan baru yang perlu diterapkan. Contoh-contoh pendapatan pasif yang boleh difikirkan adalah:

  • Mempunyai rumah sewa yang aliran tunai positif.
  • Mempunyai website, aliran trafik tinggi dan iklan berbayar.
  • Mempunyai perniagaan secara atas talian.
  • Mempunyai kelas-kelas online berbayar.
  • Menjual E-Book.
  • Mencipta lagu dan menerima royalti.
  • Menulis buku dan menerima royalti.
  • Mempunyai aset-aset seperti hartanah dan tanah komersil.
  • Menyimpan di unit amanah dan menerima dividen.
  • Melabur di saham, menerima dividen dan untuk peningkatan nilai modal.
  • Mempunyai kereta untuk disewakan.
  • Menjual produk yang memberikan komisyen berpanjangan.
  • Mempunyai entiti bisnes yang sudah ‘auto-run’.

Secara rumusannya, pendapatan pasif boleh dijana melalui lima cara utama:

  1. Hartanah.
  2. Harta intelek.
  3. Pelaburan.
  4. Barangan berharga.
  5. Pengantara pembeli dan penjual.

Mula dengan Pendapatan Aktif, bina dengan Pendapatan Pasif

Jika baru menapak dalam dunia pekerjaan, setiap lebihan daripada pendapatan letakkan di tempat yang boleh memberi pendapatan pasif. Cara paling mudah adalah membuat pelaburan yang berisiko rendah tetapi memberikan pulangan optimum.

Sebagai contoh, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai produk pelaburan yang memberikan pendapatan konsisten seperti Amanah Saham Bumiputera 1, Amanah Saham Bumiputera 2 atau Amanah Saham 1Malaysia. Amanah Hartanah Bumiputera yang ditaja oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) juga salah satu opsyen untuk menjana pendapatan pasif.

Apabila sudah cukup, wang simpanan ini boleh digunakan untuk membeli hartanah yang mampu memberikan pulangan dari segi sewaan dan peningkatan harga rumah. Belajar dunia hartanah dan bina portfolio pelaburan hartanah pula.

Bebas kewangan (financial freedom) boleh dicapai jika nilai pendapatan pasif adalah sama dengan perbelanjaan bulanan peribadi. Ini perlu dirancang dengan sebaik-baiknya.

Topik seterusnya: Cara Mengurus Wang Dengan Bijak

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.