bajet kewangan keluarga

Kawal Perbelanjaan Menggunakan Bajet Kewangan

Isi Kandungan :

Dahulunya, pakar bahasa menggunakan perkataan belanjawan merujuk peruntukan untuk berbelanja pada satu waktu tertentu. Tapi sekarang istilah yang lebih dikenali ramai adalah bajet.

Apa itu Bajet Kewangan?

Ia adalah senarai anggaran pendapatan dan perbelanjaan akan datang yang membantu kita membuat keputusan yang betul dan tidak terburu-buru.

Bajet adalah ‘blueprint’ paling penting sebelum mempunyai portfolio takaful, pemilikan saham mahupun hartanah.

Ada banyak cara nak urus bajet. Ada yang buat setiap perbelanjaan dimasukkan ke dalam sampul.

Kredit: The Vocket

Ada yang buka banyak akaun bank.

  1. Akaun Harimau untuk perbelanjaan sendiri.
  2. Akaun Sotong untuk perbelanjaan dapur.
  3. Akaun Rashid untuk perbelanjaan pelaburan.

Bayangkan anda pergi ke Bazaar Ramadan tanpa bajet. Berbelanja ketika lapar ni bahaya sebenarnya, semua makanan nampak sedap je. Sedar-sedar sampai ke kereta penuh beg plastik di dua-dua tangan. Inilah bahayanya kalau tiada bajet.

Sebuah negara pun mempunyai pembentangan bajet sendiri untuk kerja-kerja tahun hadapan. Apatah lagi kita sebagai rakyat marhaen. Tak perlu parlimen untuk bentangkan bajet. Sekadar duduk bersama isteri dan anak-anak, rancang belanja untuk sekolah, barangan dapur, melancong dan pembelian sofa baru.

Inilah waktunya seorang suami boleh jadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

Kepentingan Membuat Bajet Kewangan

Jika kita mempunyai bajet dan matlamat kewangan yang jelas, kita akan mudah berkata ‘TIDAK’.

Apabila ada tawaran telefon Iphone baru keluar, kita akan menolak dan katakan ‘tidak’ sebab dah lari dari bajet yang ada. “Beli Xiaomi pun cukup lah”

Lalu kedai baju kita akan kata “Saya ada bajet dua pasang baju je”. Kita mampu kata ‘tidak’ untuk beli lebih walaupun ada diskaun.

Kunci betapa bagusnya bajet yang telah dibuat adalah berbelanja kurang daripada yang diterima. Ini memerlukan disiplin yang kuat dan kawalan nafsu berbelanja yang tinggi.

Walaupun ada peristiwa terbabas berbelanja melebihi bajet, sentiasa ingat semula matlamat utama kenapa bajet disediakan.

Tanya empat soalan ini sebelum berbelanja barang kehendak:

  1. Adakah saya betul-betul memerlukan X?
  2. Adakah saya betul-betul mampu memiliki X?
  3. Ada ke tidak pilihan yang murah sikit daripada X?
  4. Boleh tak saya tangguhkan dulu Xke tahun hadapan?

Kalau dalam online shopping lagi mudah. Letak dulu dalam cart, biarkan 2-3 hari. Kemudian buka semula dan tanya 4 soalan di atas. Biasanya nafsu membeli tu dah berkurang selepas beberapa hari.

Cara Membuat Bajet Kewangan Yang Efisien

Nak buat bajet kena praktikal dan realistik. Buat bajet supaya kita boleh patuh.

Bagi yang pertama kali membuat bajet, mesti tak tahu nak mula dari mana kan? Berapa perlu diperuntukkan untuk setiap kategori? Anda boleh ikuti langkah ini untuk mencipta bajet yang realistik.

  1. Rekod perbelanjaan setiap hari selama sebulan. Jangan tertinggal satu! Lebih afdhal, buat selama tiga bulan. Kumpul resit sebagai alternatif. Kalau kerap berbelanja menggunakan kad debit atau kad kredit, setiap hari periksa perbelanjaan.
  2. Kategorikan setiap perbelanjaan. Sebagai contoh, buat satu kategori perbelanjaan pengangkutan. Dalam ini mempunyai sub-perbelanjaan seperti bayaran petrol, bayaran tol, servis kereta dan basuh kereta.
  3. Kenal pasti nilai-nilai perbelanjaan tersebut. Lihat berapa minimum dan maksimum dibelanjakan. Semak purata perbelanjaan setiap hari atau sebulan.
  4. Ambil satu nilai, disarankan ambil angka purata. Letakkan dalam bajet bulanan.
  5. Bulan hadapan, berbelanjalah mengikut angka bajet ditetapkan. Jika rasa terlalu rendah bajet tersebut, naikkan. Jika terlalu tinggi, kurangkan. Ubah suai sehingga dapat amaun yang optimum.

Pecahan Kategori Bajet

1. Bajet Perbelanjaan untuk Diri Sendiri

Ya! Sebelum duit mengalir ke orang lain, belanjalah diri dulu. Payungkan diri sendiri sebelum nak payung orang lain. Ini adalah tip yang sentiasa berkesan sejak dulu sampai sekarang.

Sebelum kapal terbang berlepas, pramugari akan berikan taklimat keselamatan. Antara pesanannya adalah pakai topeng oksigen untuk diri sendiri dahulu sebelum pakaikan untuk orang lain. Bantu diri sendiri dulu baru kita mampu nak tolong orang lain.

Maksud belanja atau payung diri sendiri, adalah simpan untuk diri sendiri. Asingkan siap-siap berapa yang kita mahu simpan.

Cadangannya, minima 10 peratus. Lagi banyak lagi bagus. Antara perbelanjaan yang boleh dikategorikan bawah perbelanjaan untuk diri sendiri adalah:

  • Simpanan Tunai, minima 10 peratus.
  • Simpanan Kecemasan (ada orang suka asingkan dengan simpanan di atas)
  • Pelaburan, contoh buat penolakan automatik ke Amanah Saham Bumiputera.

2. Bajet Perbelanjaan Tetap

Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan di mana jumlah amaun yang dibelanjakan adalah tetap setiap bulan dan memang perlu dibayar setiap bulan. Tak bayar, boleh menyebabkan rekod kewangan kita di CCRIS atau di CTOS tak lawa (ada rekod lewat bayar).

Perbelanjaan Tetap selalunya dikaitkan dengan bayaran melunaskan hutang-piutang. Contoh; hutang rumah, hutang kereta, hutang belajar (PTPTN) dan hutang pembiayaan peribadi.

Perbelanjaan yang boleh dikategorikan di bawah perbelanjaan tetap adalah:

  • Sewa Rumah
  • Pembayaran Rumah (rumah duduk sendiri)
  • Pembayaran Rumah (untuk pelaburan, jika ada)
  • Pembayaran Kereta
  • Pembayaran Insuran (ambillah Takaful, bukan Insuran)
  • Sumbangan Takaful Keluarga
  • Sumbangan Takaful Perubatan
  • Pembiayaan Peribadi
  • Pembiayaan Pendidikan (PTPTN, MARA dll.)
  • Pembiayaan Bisnes
  • Pembiayaan Pelaburan (contoh: ASB Financing)

3. Bajet Perbelanjaan Boleh Ubah

Jenis perbelanjaan ini boleh menjadi sejenis perbelanjaan keperluan (wajib dibelanja) tetapi amaun tidak tetap kerana mengikut kekerapan penggunaan yang berbeza. Semakin banyak digunakan, semakin tinggi jumlahnya.

Contoh: Belanja kegunaan air, elektrik, telefon, gas dan barangan runcit.

Tip untuk mengurangkan Perbelanjaan Boleh Ubah adalah melakukan langkah berjimat-cermat.

Perbelanjaan yang boleh dikategorikan di bawah perbelanjaan boleh ubah adalah:

  • Barangan Runcit dan Makanan
  • Keperluan Rumah – Air
  • Keperluan Rumah – Gas
  • Keperluan Rumah – Elektrik
  • Keperluan Rumah – Sekuriti dan Baik Pulih (maintenance)
  • Keperluan Rumah – Internet
  • Keperluan Rumah – Pembentungan (IWK: Indah Water Konsortium)
  • Bayaran TV – Astro
  • Bayaran Hiburan – Netflix
  • Bayaran Hiburan – Disney Plus
  • Kereta – Minyak
  • Kereta – Tol
  • Kereta – Parkir
  • Kereta – Basuh Kereta
  • Makan Luar
  • Elaun untuk Ibu
  • Elaun untuk Anak
  • Pembantu Rumah
  • Pendidikan Anak
  • Buku

4. Bajet Perbelanjaan Pilihan

Ini adalah perbelanjaan yang dibuat berdasarkan kehendak diri semata-mata. Perbelanjaan ini tidak penting tetapi ada waktunya perlu dibelanjakan.

Kebiasaannya, perbelanjaan ini hanya berlaku satu atau dua kali sahaja dalam setahun.

Perbelanjaan yang boleh dikategorikan di bawah perbelanjaan pilihan adalah:

  • Perbelanjaan Perubatan
  • Perbelanjaan Pakaian
  • Perbelanjaan Keperluan Diri (contoh: barangan make up)
  • Keperluan Perabot
  • Majlis Keraian
  • Zakat
  • Derma
  • Sumbangan Waqaf
  • Cukai
  • Percutian
  • Yuran Keahlian

Topik seterusnya: Menangguhkan Kepuasan Untuk Masa Depan

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.