LaburSantai
kad kredit swipe

Kenapa Manusia Boros Bila Guna Kad Kredit

Isi Kandungan :

Artikel ini pertama kali diterbitkan di newsletter Labur Santai.

Bayangkan sekarang kita sedang beratur di kaunter Tesco (Kini diambil alih lotus). Barang tidaklah banyak mana, dalam separuh troli. Ada beras, minyak masak, ayam seekor, barang kering sikit dan sayur.

Semua sekali RM156.60. Ada 3 cara pembayaran: tunai, kad debit dan kad kredit.

Cara pertama: Bayar tunai

Dalam dompet kita sekarang ada RM250. Lepas bayar tengok baki tinggal RM93.40 je.

“Uish, tinggal sikit je duit aku ni”

Mengenangkan baki yang sikit di dalam dompet, kita terus masuk ke mode berjimat. Habis bayar terus tolak troli sampai ke kereta, tak tengok kiri kanan. Masukkan barang, nyalakan enjin dan terus pulang.

Cara kedua: Bayar menggunakan kad debit

Dengan satu swipe sahaja pembayaran selesai.

Kita pun tidaklah rajin nak semak berapa baki akaun yang tinggal selepas swipe. Lagipun hari ini hari gaji, mesti banyak lagi baki dalam akaun. Kita masih rasa ‘kaya’.

Selesai bayar, kita teruskan berjalan dalam pasar raya. Singgah H&M dan terbeli 2 helai baju. Akhir sekali kita singgah Nandos untuk makan tengah hari.

Kalau dikira, kita dah belanja RM300-RM400 sebenarnya.

Cara ketiga: Bayar menggunakan kad kredit

Cara bayar masih sama seperti kad debit. Swipe and pay.

Tapi kita akan rasa kurang terbeban apabila bayar menggunakan kad kredit ni. Kenapa? Sebab kita beli dahulu, bayar kemudian. Hari ini beli, lagi sebulan baru masuk bil.

Kita tak ‘terasa’ duit keluar daripada poket atau akaun bank kita. Lagi sebulan baru rasa. Kesakitan membayar ditangguhkan ke masa hadapan.

Manusia rasa sakit bila hilang sesuatu.

Menurut ahli psikologi, kita rasa sakit apabila kita keluarkan duit untuk membuat pembayaran. Ya, dengan berbelanja kita dapat produk dan perkhidmatan yang kita mahu. Tapi jauh di dalam minda, kita rasa sakit dengan kehilangan duit.

Kad debit dan kad kredit direka untuk mengurangkan rasa sakit tersebut. Bagaimana?

1. Buatkan Anda Rasa ‘Kaya’

Manusia membuat perbandingan secara relatif. Bagaimana kita nak tahu harga satu-satu barang tu murah atau mahal? Kita akan buat perbandingan, mahal atau murah bergantung dengan apa kita bandingkan.

Begitu juga dalam berbelanja. Bila berbelanja kita akan tentukan perbelanjaan kita tinggi atau rendah berdasarkan jumlah duit yang kita ‘rasa’ kita ada sekarang.

Katakan kita nak beli Starbucks, harga RM15.

Kalau bayar guna tunai, andainya kita ada RM150 dalam dompet. Kita ‘rasa’ kita belanja 10% daripada jumlah duit yang kita ada sekarang.

Kalau guna kad debit, kita akan bandingkan dengan duit dalam akaun kita. RM15 daripada RM1,500 dalam akaun bank hanyalah 1% sahaja. Nampak lebih murah bukan?

Kad kredit lebih bahaya. Kita akan bandingkan dengan had kredit (credit limit). Katakan had kredit adalah RM6,000. RM15 untuk kopi baru 0.25% daripada RM6,000 yang boleh dibelanjakan.

Semakin tinggi had kredit, semakin bahaya.

2. Pembayaran Tertangguh

Apabila menggunakan kad kredit, kita sebenarnya bukan berbelanja, tapi berhutang.

“I don’t value my future money as much as I value my present money, and so with a credit card, by moving the payment into the future, it’s less psychologically painful than if I paid right now,”

Morewedge, Professor Pemasaran Di Universiti Boston

Kita tak nampak duit kita berkurang dalam akaun bank seperti mana kad debit. Disebabkan kita tak nampak dan rasa duit berkurang, kita tidak merasa sakit bila membuat pembayaran.

Lagi sebulan barulah bil masuk. Baru nampak jumlah kita dah belanja.

Tapi sebab jumlahnya tinggi, sekali lagi kita rasa berat dan sakit nak bayar hutang.

‘Nasib baik’ ada pilihan nak bayar minima, kurang sikit rasa sakit membayar sekali gus. Dan kitaran ini berterusan sehinggalah kita terduduk atau tersedar.

3. Akses Duit Dari Masa Hadapan

Kad kredit adalah mesin perentas masa. Dengan kad kredit, kita boleh pinjam daripada diri kita di masa hadapan. Boleh guna gaji bulan hadapan untuk belanja hari ini.

“Aku nak pakai hari ini, nanti promosi ni dah habis.” – swipe kad kredit, bayar kemudian hari.

Atas sebab ini, orang akan berbelanja dengan selesa, berbanding ‘kesakitan’ menunggu hari mendatang. Kempen, ‘buy now, pay later’ adalah strategi pemasaran baru – berbelanja guna duit masa hadapan.

Kalau nak selesa masa hadapan, tapi sakit hari ini, belanja dengan apa yang ada sahaja.

Kalau nak selesa hari ini ,tapi sakit di masa hadapan, belanja dengan kad kredit.

Pilih bila anda nak sakit.

Patut Pakai Kad kredit Atau Tidak?

Saya tidak menafikan kad kredit ada juga kebaikannya, dapat tebus poin, ada cashback. Tetapi kalau kita lihat statistik, majoriti pengguna terperangkap dengan hutang kad kredit. Malah kad kredit antara punca orang muflis.

Anda boleh pakai kad kredit jika anda seorang memiliki disiplin tinggi. Pakai dan terus bayar.

Kalau tiada disiplin, elakkan lebih baik.

Kalau api, kecil-kecil jadi kawan, bila besar jadi lawan.

Kalau hutang kad kredit, kecil-kecil nampak sikit, banyak-banyak baru sakit.

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.