LaburSantai
pelabur wanita

Kenapa Pelabur Wanita Lebih Baik Daripada Pelabur Lelaki

Isi Kandungan :

Siapakah idola dalam dunia pelaburan? Rata-rata sang lelaki yang seorang pelabur boleh jawab dengan mudah;

Warren Buffet, John C. Bogle, Ray Dalio, Peter Lynch dan ramai lagi. 

Kesemua nama ini adalah nama seorang lelaki. Bagaimana dengan idola pelaburan wanita? Adakah wanita memang tiada langsung skil dalam melakukan aktiviti pelaburan? Adakah pelabur wanita tidak bagus?

Walaupun industri pelaburan didominasi ramai sang lelaki, ketahuilah bahawa wanita berpotensi jadi pelabur lebih baik daripada lelaki. Kalau anda seorang pelabur wanita, ini adalah artikel anda perlu baca. Kepada pelabur lelaki, perlu ketahui bagaimana pelabur wanita boleh jana keuntungan lebih daripada pelabur lelaki. Awas!

Fitrah Pelabur Wanita Berbeza Berbanding Pelabur Lelaki

Pengarang bersama buku Why Men Don’t Listen and Women Don’t Read Map, pasangan suami isteri, Allan Pease dan Barbara Pease merungkai bagaimana lelaki dan perempuan berbeza dari segi perspektif terhadap risiko.

buku why men dont listen

Menurut karangan beliau, sejak zaman primitif lagi, lelaki sudah mengalas tanggungjawab dalam hal menyediakan makanan untuk keluarga; isteri dan anak-anak. Untuk mencari sumber makanan protein utama seperti ikan dan daging, lelaki perlu keluar untuk memburu. 

Aktiviti memburu adalah aktiviti yang berisiko tinggi. Ada risiko dikejar pemangsa hutan, memanjat bukit atau gunung atau berlayar di laut. Dalam konteks risiko, lelaki adalah lebih kepada seorang yang gemar mengambil risiko atau ‘risk taker’.

Berbanding dengan lelaki, wanita lebih kepada menjaga kawanan ahli keluarga dan bergerak dalam kawasan yang dirasakan selamat. Wanita akan cuba meletakkan keluarga mereka dalam keadaan yang kurang berisiko; ada benteng kayu dan jauh dari potensi didatangi oleh pemangsa. Wanita akan akses teliti setiap keadaan sekeliling di sekitar kediaman. 

Ini bermaksud, wanita lebih gemar mengambil pendekatan mengurangkan risiko sebaik mungkin atau secara ekstrim, mengelak sebarang risiko ancaman terhadap keluarga terutama anak-anak. Ini yang dikatakan sebagai ‘risk averse’.

Berdasarkan cerita primitif ini, lelaki gemar mengambil risiko (risk taker), manakala wanita gemar mengelak risiko (risk averse). 

Tingkah Laku Pelabur Wanita Dalam Pelaburan

Sebelum mengenali tingkah laku pelabur wanita, lihat dulu bagaimana konsumer wanita berbeza berbanding lelaki. Sebagai contoh, lihat bagaimana wanita dan lelaki membeli baju, kiub ayam dan pelbagai lagi. 

Pelabur Wanita Tidak Meminta ‘Buy/Sell Call’

Secara amnya, dalam konteks berbelanja atau shopping, wanita menganggap ini adalah aktiviti penjelajahan. Wanita gemar berjalan-jalan 2-3 jam lamanya di kompleks membeli belah dan lompat dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari baju yang betul-betul kena dengan cita rasa, warna dan paling penting – harga. 

Wanita tidak kisah untuk mempunyai lebih 2-3 pilihan sebelum mengeluarkan duit membuat pembayaran. Sebaliknya, seorang lelaki menganggap aktiviti shopping adalah umpama misi yang perlu dilaksana dengan cepat. Ambil baju, belek sikit, bayar. Ada yang tidak mencuba untuk pergi ke fitting room pun. Wanita? 10 minit pun belum cukup untuk berada di fitting room.

“It’s all in the brain: Men on mission, women on a journey.”

Mark Gungor

Sebab itu, lelaki kalau diminta untuk belikan kiub ayam terus tanya; ada kat ruang mana? Rak kanan atau rak kiri? Kiub warna apa? Kecik ke besar? Semua benda ini ditanya, kalau boleh hanya nak ambil barang tersebut dan terus kaunter pembayaran.

Ini yang boleh dilihat rata-rata pelabur amatur lelaki suka kalau ada sifu-sifu pelaburan memberi mereka senarai saham yang patut mereka beli (buy call list). Mereka terus tanya tanpa segan silu; “Apa patut saya beli erk?” – tak ada nak buat analisa atau pembacaan.

Pelabur wanita menang dari segi ini. Ada kajian menunjukkan bahawa pelabur wanita rela untuk mempunyai masa lebih lama dalam membuat keputusan pelaburan. Digandingkan dengan karektor yang ‘risk averse’, ini menyebabkan keputusan pelaburan pelabur wanita lebih berkualiti berbanding pelabur lelaki.

toleransi risiko

Pelabur wanita tidak hairan dengan tip-tip hangat daripada grup-grup Whatsapp atau Telegram. Mereka lebih yakin dengan pilihan sendiri. Masakan, mereka boleh berhari-hari fikir nak pilih langsir apa, proses yang sama boleh diaplikasikan untuk pembelian aset pelaburan seperti ekuiti (contoh: saham syarikat). 

Ini juga menyokong pendapat bahawa pelabur wanita lebih tenang dalam pasaran kapital, kerana keyakinan terhadap pembelian yang sudah dilakukan. Berbanding lelaki, yang beli berdasarkan ‘dengar-dengar’, rasa goyah bila pasaran berada di lautan merah (pasaran menjunam). 

Pelabur Wanita Gemar Sistem Yang Ringkas

simplicity
Kredit: Commpro

Gajet elektronik sebelum ini lebih memfokuskan kepada konsumer lelaki. Trend ini berubah apabila penyedut vakum Dyson diperkenalkan di pasaran. Pada tahun 2010, berdasarkan kajian Caravan Opinion Research, satu-pertiga (⅓) wanita di Amerika Syarikat suka kalau pasangan hadiahkan Dyson kepada mereka. 

Kenapa? Ideanya, gajet rumah ini membantu mereka dalam urusan seharian dan boleh guna lebihan masa untuk aktiviti bermanfaat. Wanita sebenarnya mempunyai keinginan yang banyak dalam pengurusan harian;

  • Pengering baju (dryer) – penat nak sidai kain yang basah.
  • Mesin basuh pinggan mangkuk (dishwasher) – senang nak cuci pinggan
  • Terbaru, robot penyedut vakum (robotic vacuum) –  tak perlu nak vakum

Apakah persamaan semua tiga peralatan ini? Alat ini akan melakukan kerja secara auto. Less-effort. Kurang tenaga disalurkan dan tak perlu berfikir. 

Sebab itu, rata-rata pelabur wanita akan mencari sistem pelaburan yang seringkas mungkin. Selepas membuat kajian tempat pelaburan yang bagus, pelabur wanita akan fokus untuk salurkan simpanan ke situ.

Beza pelabur lelaki, gemar untuk mempunyai tindakan kompleks dalam pelaburan. Sekejap nak belajar analisa secara teknikal atau technical analysis, sekejap nak belajar buat fundamental analysis, kemudian berpindah-pindah daripada pelbagai aset pelaburan; bulan ini saham, minggu depan emas, minggu satu lagi matawang kripto. Masuk kelas pelaburan, masih tanya lagi; “Nak beli apa ya?”

Pelabur wanita lebih berdisiplin secara tak sengaja dengan mempunyai cara pelaburan seperti Dollar Cost Averaging (DCA), dimana meletakkan amaun yang sama dan dilaburkan pada jeda masa yang sama. 

Lazimnya, buat penolakan setiap bulan daripada gaji dan dimasukkan ke dalam pelaburan. Contoh; Auto Labur Amanah Saham Bumiputera. Selain itu, pelaburan menggunakan Robo-Advisor dan pelaburan di ETF, menarik perhatian golongan pelabur wanita. Cara ini memang sedia terbukti memberi pulangan yang baik dalam tempoh jangka masa yang panjang. 

Pelabur Wanita Teliti Bab Diskaun dan Caj

Wanita adalah konsumer yang bagus berbanding lelaki, terimalah hakikat ini (tapi tak semua). Wanita akan mencari nilai pembelian yang bagus (finding the best deal). Selain harga pembelian, wanita akan bertanyakan pasal diskaun dan caj-caj pembelian, jika ada.

Tawar menawar pembelian barangan dapur, itu sudah pasti. Beli beg tangan mahal, seperti Gucci sekalipun, wanita akan minta diskaun. Jika tak dapat, mereka juga minta ‘goodies’ tambahan. Maklumlah, dah beli benda mahal.

Begitu juga dengan pelabur wanita. Mereka tidak mahu pelaburan mereka dimamah oleh caj-caj seperti caj jualan, caj transaksi dan pelbagai caj lagi. Perangai mencari diskaun dan pengurangan caj, terbawa-bawa ke mencari aset pelaburan adalah perkara positif.

Pelaburan yang mempunyai caj yang kurang, bermaksud lebih banyak lagi wang sedia ada disalurkan ke pelaburan; bukan beri kepada ejen-ejen produk pelaburan. Evolusi dalam aset pelaburan, pelabur wanita boleh akses platfom pelaburan digital disandarkan kepada aset seperti Exchange Traded Fund (ETF), unit amanah (unit trust), saham luar negara, emas dan pelbagai lagi dengan caj yang sangat rendah.

Pelaburan yang menggunakan pendekatan strategi pelaburan secara pasif (passive investment) seperti Robo-Advisor juga menjadi pilihan pelabur wanita disebabkan hampir tiada atau terlalu rendah caj pengurusan tahunan. Jadi, lebih banyak wang disalurkan ke pelaburan dan boleh jana lebih banyak pendapatan hasil pelaburan.

Boleh baca kesan kos pelaburan terhadap pulangan di sini.

Prestasi Pelaburan Pelabur Wanita Lebih Tinggi daripada Pelabur Lelaki?

Perbincangan mengenai prestasi pelabur wanita telah menjadi topik hangat sejak era lepas pandemik (post-pandemic) pada tahun 2021. 

Berdasarkan laporan analisa Fidelity yang dilaporkan oleh Lorna Kapusta, ketua bahagian pelaburan wanita menyokong bahawa pelaburan wanita lebih baik 0.4 peratus tahunan berbanding lelaki, berdasarkan kajian daripada 5.2 juta akaun pelaburan dari tahun 2011 hingga 2020.

Perkara yang menyumbang prestasi pelabur lelaki kurang berbanding pelabur wanita adalah kekerapan yang tinggi jual-beli aset pelaburan atau over-trading. Pakar neurologis, William J. Bernstein mengatakan hormon testosterone yang tinggi menyebabkan rasa takut itu rendah, meningkatkan rasa ego dan tamak dan seterusnya meningkatkan tahap rasa keyakinan.

Rasa keyakinan ini menyebabkan pelabur lelaki boleh melabur atau membeli aset pelaburan tanpa mengetahui apa aset pelaburan tersebut. Berbalik kepada kisah primitif, hormon testosterone ini penting untuk lelaki keluar mencari sumber makanan dan rasa yakin untuk berhadapan ancaman di luar sana.

Apa Pelabur Wanita Perlu Buat Untuk Kekal Untung Dalam Pelaburan?

Pelabur wanita sebenarnya sudah mempunyai karektor pelaburan yang bagus. Ini adalah rangkuman poin-poin yang sudah diterangkan di atas.

  1. Membuat analisa pelaburan yang betul.
  2. Mempunyai sistem pelaburan yang automatik. 
  3. Cari pelaburan yang mengenakan caj yang rendah/tiada.

Inilah ‘trait’ permulaan seorang pelabur yang baik dan boleh menghasilkan keuntungan jangka masa panjang. Akan tetapi, untuk menghasilkan peratus keuntungan pelaburan lebih tinggi, pelabur wanita harus untuk mempunyai aset pelaburan lebih berisiko tinggi.

Idea ini disokong oleh penulisan Harry Markowitz (1952), iaitu Modern Portfolio Theory (MPT). Secara amnya, teori ini memberitahu bahawa pelabur perlu mempunyai rangkuman aset pelaburan yang pelbagai untuk menjana keuntungan lebih tinggi dengan mengambil risiko aset pelaburan yang optimum.

Dengan mempunyai pelbagai aset pelaburan yang dihimpunkan sekali, ini akan mengurangkan risiko pelaburan secara keseluruhan dan akan membantu pelabur mencapai lebih banyak keuntungan dalam pelaburan.

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.