Dalam pelaburan, perkara yang menjadi perhatian atau keutamaan adalah pulangan, pulangan dan pulangan.
Ya, memang pulangan penting, tetapi ramai juga yang terlepas pandang bab kos (caj yang perlu dibayar untuk membuat pelaburan).
Setiap pelaburan ada kosnya. Masuk ‘melabur’ di tandas pun kita kena bayar, inikan pula pelaburan sebenar.
Beli rumah ada duti setem, beli emas ada kos spread dan beli saham ada kos broker. Di bawah disenaraikan beberapa kos yang perlu diberikan perhatian.

Kesan Fi dan Caj Terhadap Pulangan
Walaupun caj dan fi kecil sahaja peratusannya, tetapi ia bakal memberi kesan yang besar kepada pulangan pelaburan anda. Jika portfolio pelaburan memberi pulangan 7% setahun dan fi yang dikenakan adalah 1.5% setahun, pulangan sebenar anda hanyalah 5.5% sahaja setiap tahun.
Mari kita lihat contoh ini. Seorang pelabur melabur RM500 sebulan selama 30 tahun (jumlah pelaburan adalah RM180,000) dengan pulangan 7% setahun, berikut adalah kesan fi kepada pulangan pelaburannya.
Fi Tahunan | Nilai Pelaburan Selepas 30 Tahun | Jumlah Fi |
0% | RM588,032 | – |
0.25% | RM561,515 | RM26,517 |
0.50% | RM536,320 | RM51,712 |
1.00% | RM489,628 | RM984,045 |
1.50% | RM447,454 | RM140,578 |
2.00% | RM409,348 | RM178,683 |
Anda boleh lihat sendiri perbezaan nilai pelaburan berdasarkan fi yang dikenakan. Fi 2% menyebabkan anda kehilangan sehingga RM178,683 bagi tempoh 30 tahun.
Oleh itu, sebagai seorang pelabur anda perlu perhatikan kos-kos pelaburan yang terlibat kerana ia memberi kesan kepada pulangan.
Contohnya, anda mampu mengurangkan caj jualan dengan menggunakan platform pelaburan atas talian. Jika pelaburan tidak terlampau kompleks dan anda mampu untuk belajar sendiri, adalah lebih baik untuk membuat pelaburan secara DIY.