aliran tunai

Konsep Aliran Tunai Dalam Pengurusan Kewangan

Isi Kandungan :

Ciri kewangan peribadi yang baik adalah mempunyai aliran tunai yang positif.

Biasa dengar kawan memuji orang lain dengan ayat; “Kau boleh la simpan duit, gaji kau lebat?”

Hakikatnya, sikap boros yang menyebabkan diri gagal menyimpan walaupun sudah bertahun bekerja.

Gaji tinggi ≠ Simpanan tinggi.

Ada yang sangka kena gaji tinggi dulu baru boleh menyimpan dengan banyak. Ini separa benar. Betul dengan pendapatan tinggi kita mampu simpan dengan lebih banyak, tapi kalau perbelanjaan kita meningkat seiring pendapatan, sampai bila pun kita tidak akan mampu menyimpan.

Kesemua ini sangat berkait rapat dengan konsep aliran tunai. Konsep ini mudah iaitu perlu pastikan apa yang dibelanjakan tidak melebihi apa yang diperolehi.

Apa itu Aliran Tunai?

Daripada awan hujan turun membasahi gunung. Di punca gunung bertakunglah punca air. Air ini akan mengalir ke sungai-sungai di celah gunung, menyuburkan tanaman berdekatan laluannya. Akhir sekali air itu dijadikan sumber untuk mandi, masak dan aktiviti harian.

Aliran tunai pun sebegitu. Ia adalah aliran pergerakan duit kita dari satu punca iaitu pendapatan kita. Pendapatan kita boleh berpunca dari banyak sumber. Seperti dalam bab mencipta pendapatan datang dari sumber yang aktif iaitu bekerja atau secara pasif seperti dividen, sewaan atau royalti.

Dari pendapatan duit ini akan bergerak ke tempat-tempat yang menggunakan duit – maksud lain, perbelanjaan. Belanja makan, rumah sewa, hutang kereta, duit susu anak dan macam-macam lagi.

Bahasa mudahnya, pergerakan duit (tunai) dari sumber pendapatan ke ruang-ruang perbelanjaan.

aliran tunai 11

Merangka Penyata Aliran Tunai

Dua komponen utama dalam penyata aliran tunai adalah:

a) Apa yang masuk (inflow) Sumber pendapatan termasuklah pendapatan aktif dan pendapatan pasif.

b) Apa yang keluar (outflow) Seperti perbelanjaan termasuklah perbelanjaan keperluan dan kehendak. Perbelanjaan ini letak dalam kategori samada secara tetap, berubah-rubah atau pilihan.

Seterusnya lakukan langkah ini:

  1. Senaraikan kesemua pendapatan yang anda dalam bulan tersebut dan jumlahkan.
  2. Senaraikan kesemua perbelanjaan bulanan dan jumlahkan.
  3. Jumlah pendapatan ditolak jumlah perbelanjaan.

Setiap bulan, kita perlu sentiasa memastikan apa yang masuk (inflow) mesti lebih daripada apa yang keluar (outflow). Jangan sembang unit trust ke, takaful ‘full coverage’, pembelian hartanah berunit-unit atau ASBf patut ke tidak kalau aliran tunai ini pun masih belum betul.

Ramai yang mengabaikan ini dan terus membuat pelbagai pelaburan di luar sana. Asas sebelum nak melabur mana-mana instrumen adalah lihat pada aliran tunai. Sebab itu, apabila pelaburan tidak menjadi dan tiba-tiba sesak memerlukan duit, pelaburan terpaksa dikeluarkan. Amatlah rugi potensi sesebuah pelaburan. Lagi merugikan jika pelaburan itu mengenakan caj seperti caj pengeluaran sebelum tempohnya.

Pusat Aliran Duit VS Pusat Takungan Duit

Mahu jadikan akaun simpanan kita sebagai tempat pengaliran duit atau sebagai pusat takungan duit?

Kalau sebagai pusat aliran, akaun simpanan sekadar tempat persinggahan. Macam orang biasa kata “Dari bank ia datang, kepada bank ia pulang”.

Pusat takungan pula akan menakung sebahagian duit, bukan semuanya dibelanjakan.

Aliran Tunai Positif, Sifar & Negatif

Jika ada lebihan, bermakna aliran tunai positif. Jika sifar, maknanya cukup-cukup makan sahaja. Jika negatif, alamat perlu tindakan segera. 

Tujuan memeriksa aliran tunai ini samada kita adalah lebihan tunai atau tidak.

Jika aliran tunai positif, ini bermakna kita sudah bersedia untuk ke langkah seterusnya iaitu membuat perlindungan kewangan dan pelaburan (menggandakan kewangan).

Jika aliran tunai sifar, tindakan seterusnya adalah semak semula perbelanjaan dan pendapatan. Apa anda boleh buat untuk jadikannya positif?

Jika aliran tunai negatif, jangan berlengah lagi. Cepat semak mana satu perbelanjaan boleh dipotong dengan segera. Kalau perlu bawa bekal ke tempat kerja, buat segera. Kalau biasa sarapan nasi lemak ayam, tukar nasi lemak telur mata. Banyak lagi cara lain untuk kurangkan perbelanjaan.

Ini ada 40 contoh cara nak kurangkan belanja.

Seterusnya fikirkan cara terbaik untuk menambah pendapatan. Buat dua kerja, cari gaji lebih tinggi atau buat bisnes sambilan.

Aliran tunai sudah positif, apa nak buat?

Bina dulu dana kecemasan. Sebaiknya, tiga bulan jumlah pendapatan. (Boleh juga memilih untuk tiga bulan jumlah perbelanjaan).

Menurut kitab Richest Man from Babylon, 1/10 daripada pendapatan 10 keping emas perlu disimpan.
The Richest Man In Babylon

Kitab Konosuke Matshushita (usahawan Jepun) mengulas panjang lebar dalam cerita ‘The Dam Management’. Inspirasi kenapa ’empangan’ penting menghadapi ekonomi yang teruk.

Topik seterusnya: Kawal Perbelanjaan Menggunakan Bajet Kewangan

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.