LaburSantai
kewangan islam

Mukadimah, Bermulanya Sebuah Perjalanan Kewangan

Isi Kandungan :

Assalamualaikum WBT.

Segala sumber yang telah diperolehi di dunia ini sebenarnya adalah milik Allah SWT. Segala udara, segala cahaya, sumber alam, sumber makanan dan apa jua yang dinikmati kita sebagai manusia adalah hak milik Sang Pencipta sepenuhnya.

Kita hidup di dunia adalah dengan izin-Nya. Manusia diciptakan di dunia ini berperanan sebagai Khalifah, bermaksud pemimpin. Oleh itu segala sumber di dunia ini adalah amanah dari Allah SWT. Kita sebagai manusia ada tanggungjawab sebagai pemegang amanah.

Sebaik-baiknya, sumber ini perlulah digunapakai dengan baik dan tanpa pembaziran. Sumber ini termasuklah sumber yang penting pada masa kini – wang. Memang wang bukanlah segala-galanya.

Akan tetapi, untuk mendapatkan segala-galanya termasuklah kehidupan yang baik, pemakanan yang baik, sekuriti yang baik, pendidikan yang baik dan kualiti masa yang baik memerlukan wang.

Hidup di kota memerlukan wang yang banyak. Nak bergerak dari rumah sahaja itupun sudah ada tol yang menanti. Minyak nak hadap kesesakan lalu lintas serta kos kehidupan yang tinggi pada masa kini. Senang cerita, dari kita lahir hingga ke liang lahad segalanya memerlukan wang.

Mengimbau kembali kisah Nabi Muhammad SAW, penyebaran Islam ke seluruh dunia bukan sahaja dengan keazaman Baginda. Akan tetapi masih memerlukan juga memerlukan sumber dana kewangan tertentu untuk menyokong perjalanan dakwah Baginda.

Dengan kemurahan orang kaya terkenal ketika itu, Abu Bakar As Siddiq dan Abdul Rahman Bin Auf telah menyumbangkan bantuan kewangan yang besar dalam dakwah penyebaran Islam. Kita tidak boleh menafikan peranan wang pada manusia hari ini.

Oleh itu, sebagai seorang Khalifah tanggungjawab pengurusan kewangan adalah satu kewajipan yang pasti. Walaupun dalam sistem pendidikan kita masih tidak menekankan kepentingan pengurusan kewangan peribadi secara serius, tugas pengurusan kewangan adalah tugas sepenuh masa dan sepanjang masa.

Kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mengurus sumber wang.

Atas sebab perkara ini, Kewangan 360 diwujudkan sebagai wadah untuk berkongsi ilmu kewangan pengurusan peribadi kepada sesiapa yang berminat. Akhir sekali, akan disediakan cara-cara untuk sesiapa mahu memperbaiki kewangan peribadi secara do-it-yourself. Ini adalah fokus utama ruangan ini dicipta.

Kewangan Peribadi Berlandaskan Syariah

Di era moden ini sudah banyak buku-buku, seminar-seminar ataupun maklumat di Internet memperihalkan bagaimana urus wang. Melambak-melambak buku boleh didapati di rak-rak buku kewangan.

Di Internet pula, bantuan Google boleh menyenaraikan beribu-ribu tip dan maklumat yang kita mahu tentang pengurusan kewangan peribadi. Dari sumber ilmu ini sudah cukup untuk kita menguruskan kewangan diri sendiri secara DIY (do-it-yourself) sebenarnya.

Persoalan utama, pengurusan kewangan peribadi mempunyai dua cabang berbeza iaitu kewangan konvensional dan kewangan berlandaskan Syariah.

Kebanyakan ilmu kewangan lebih berpandukan konvensional dan ini kontra dengan permintaan yang ada di Malaysia (serta dunia) yang rata-rata sudah melihat kewangan Islam sebagai alternatif terbaik dalam pengurusan kewangan.

Uniknya di Malaysia, kerancakan pasaran kewangan Malaysia telah digembar-gembur tentang kebaikan hal kewangan patuh Syariah. Ini lebih terbukti apabila krisis ekonomi dunia pada tahun 2008, melihat dunia kewangan berpandukan Syariah menunjukkan prestasi lebih baik.

Atas sebab ini, masyarakat Muslim di Malaysia sedang ke arah menyucikan sumber kewangan masing-masing dan mencari cara bagaimana cara menguruskan kewangan mereka supaya patuh Syariah.

Sudah pastinya, kewangan Islam sentiasa bebas dari elemen kewangan konvensional yang mempunyai unsur riba (pertambahan), gharar (ketidakpastian) dan qimar (perjudian). Malangnya, dari sudut pembacaan ilmu kewangan patuh Syariah boleh dikatakan masih rendah.

Jika ada pun, ianya sekadar pandangan ustaz-ustaz dimana tidak spesifik dan selari dengan tuntutan masyarakat terhadap ilmu kewangan patuh Syariah. Dari sudut sumber bacaan, ianya lebih kepada bacaan secara akademik yang mempunyai jargon kewangan dan terlalu sedikit ditulis.

Seolah-olah ada gap atau ruang yang besar tidak dapat dipenuhi untuk umat Islam terutama di Malaysia memahami kewangan Islam secara keseluruhan. Sepatutnya, sebagai seorang Muslim sudah tidak perlu ada lagi keraguan memilih samada kewangan konvensional atau kewangan patuh Syariah.

Sudah menjadi kewajipan seorang Muslim memilih produk kewangan berlandaskan ajaran Allah melalui dalil-dalil Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Ini menjadikan fokus kedua, ruang ini dicipta untuk memfokuskan perjalanan menyusun aturan kewangan peribadi terutama pengurusan kewangan secara DIY dan penyusunan kewangan berlandaskan Syariah. 

Di samping itu, ruang ini dapat membantu memahami setiap perkara yang selama ini di salah faham antara kewangan konvensional dan Islamik – ada mengatakan ianya sama dan hanya berbeza pada nama.

Fokus Utama Kewangan 101

Rumusannya, dua fokus utama adalah memahami konteks kewangan berlandaskan Syariah dan memperolehi cara membuat perancangan kewangan secara DIY.  Ruang ini bermula dengan memahami asas utama sebagai seorang Muslim terhadap pengurusan kewangan.

Tajuk pertama adalah tentang memahami istilah kejayaan Al-Falah dan kaitan dengan perancangan kewangan peribadi. Ini diteruskan dengan memahami konsep-konsep dan pandangan perspektif Islam terhadap aktiviti aturan kewangan peribadi.

Seterusnya setiap langkah-langkah secara terperinci dan tip-tip yang boleh digunapakai dalam kehidupan seharian.

Langkah-langkah bermula dengan aktiviti mencipta wang dan mengurus wang yang meliputi aspek aliran tunai, pengurusan hutang, aset & liabiliti dan strategi memperbaiki kewangan.

Seterusnya akan menerangkan tentang aktiviti mengurus risiko kewangan iaitu tentang takaful sebagai instrumen utama. Kemudian, aktiviti menggandakan kewangan atau pelaburan yang mempunyai pelbagai cara. Apa yang pasti, lebih kepada aktiviti pelaburan patus Syariah sahaja.

Aktiviti penyucian dan pembersihan akan meliputi tajuk percukaian dan perancangan zakat. Bab kedua terakhir akan menyentuh tentang perancangan persaraan, pendidikan dan perancangan Haji dimana menjadi perkara wajib dan termaktub dalam rukun Islam ke-lima.

Akhir sekali, bab pengurusan harta pusaka sebagai penutup dalam pengurusan kewangan DIY.

Insha-Allah, harapan di sini bukan setakat menghabiskan setiap butir perkataan semata-mata. Membaca dan memahami itu sudah pasti. Seterusnya perlu disusuli dengan tindakan pantas sekaligus dapat menjana ekonomi umat Islam secara keseluruhan. Paling penting, ibadah dalam pengurusan kewangan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Ilmu tanpa amal ibarat tanpa pohon yang berbuah.

Selamat membaca.

Topik seterusnya: Al-Falah: Perancangan Kewangan Menurut Islam

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.