LaburSantai
apa itu asb

Apa Itu ASB: Panduan Lengkap Pelaburan ASB

Isi Kandungan :

ASB satu-satunya pelaburan berisiko rendah tapi pulangan kompetitif. Rugi kalau tak manfaatkan pelaburan ini!

Apa itu ASB? Bagaimana nak labur ASB? Tinggi sangat ke pulangan ASB?

Jangan bimbang, anda akan faham semua ini dengan membaca Panduan Lengkap Pelaburan ASB ini.

Apa Itu ASB?

Amanah Saham Bumiputera atau ASB diasaskan pada 2 Januari 1992 oleh Amanah Saham Nasional Berhad bagi membantu golongan bumiputera membuat simpanan.

Untuk memenuhi aspirasi itu, ASB akan berikan pulangan jangka panjang yang konsisten kepada pemegang unit amanah dan memastikan pelaburan berisiko rendah.

ASB adalah Amanah Saham. Ini bermaksud dana pelabur (duit yang anda masukkan ke ASB) dikumpulkan dalam satu tabung. Tabung ini diuruskan pengurus dana untuk dilaburkan. Setiap keuntungan pelaburan akan diberikan semula kepada pelabur (anda).

Anda boleh baca artikel ini jika masih kurang jelas bagaimana amanah saham berfungsi.

Tetapi bezanya ASB dengan amanah saham lain adalah harga setiap unit adalah tetap (RM1). Ini bermakna tiada risiko kerugian!

Namun, ada hadnya. Maksimum kita boleh simpan di ASB adalah RM200,000 sahaja.

Pulangan ASB

Pulangan ASB adalah dalam bentuk dividen. Dividen diumumkan setiap hujung tahun. 

Dividen akan diumumkan dalam nilai sen. Contohnya dividen adalah 5 sen, ia bersamaan RM0.05/RM1.000 x 100 = 5%.

Katakan anda ada RM10,000 dalam ASB dan dividen diumumkan adalah 5%, maka keuntungan anda adalah RM500.

Jumlah dividen yang diberikan oleh ASB adalah tidak kurang daripada nilai fixed deposit Maybank iaitu 1.85%. (Ini benchmark pulangan ASB)

TahunPulangan (%)
20215
20204.25
20195.5
20187
20177.25
20167.25
Sejarah Pulangan ASB

Beza Simpan Di ASB Dan Akaun Bank

Untuk tempoh setahun, mungkin anda tak nampak banyak sangat perbezaan dari segi pulangan. Tapi untuk jangka panjang, perbezaannya sangat ketara.

Katakan anda simpan RM200 sebulan, ini jumlah simpanan anda selepas 20 tahun:

1. ASB (5%): RM79,358

2. Akaun bank (1%): RM52,846

Kenapa Perlu Melabur Di ASB?

Setakat ini berdasarkan pengalaman dan kajian saya, ASB adalah pelaburan paling terbaik untuk pemula. Kenapa?

ASB “Tiada Risiko”

Anda masuk RM1,000 dalam ASB hari ini, tahun depan masih kekal RM1,000.

Biasanya harga amanah saham tidak tetap. Ada turun naik. Tetapi ASB tetap pada harga RM1. Bermakna tiada risiko kerugian.

Anda boleh bermula melabur dengan RM10 sahaja. Dan kemudian boleh tambah mengikut kemampuan atau buat penolakan bulanan secara automatik.

Fi Rendah

Tiada fi transaksi yang dikenakan. Perbezaan 1% fi boleh menyebabkan anda rugi puluhan ribu ringgit.

Ini kelebihan lain pelaburan ASB:

·   Pulangan kompetitif – Lebih tinggi daripada Deposit Tetap

·   Pengeluaran cepat – Maksimum RM1000 sebulan secara dalam talian

·   Portfolio pelaburan yang dipelbagaikan membantu mengurangkan risiko

·   Tidak memerlukan modal besar – Dengan RM10, unit ASB boleh dimiliki

·   Dijamin oleh kerajaan – Tiada kerugian ataupun pengurangan modal yang dilaburkan

Banyak kan kelebihan ASB? Sebab itulah ASB ini adalah pelaburan terbaik untuk pemula. Instrumen yang bagus untuk melatih disiplin kita melabur secara konsisten.

Ini juga satu kelebihan kepada kaum Bumiputera. Jadi, manfaatkanlah sebaiknya.

Ke Mana ASB Laburkan Duit Anda?

ASB diuruskan oleh Pemodalan Nasional Berhad. Mereka yang menentukan ke mana dana ASB dilaburkan.

Ini adalah pecahan pelaburan mengikut kategori aset:

i. 82% di ekuiti

Ii. 8% di sekuriti berpendapatan tetap (bon/sukuk)

Iii. 10% di aset lain

pelaburan asb

Ini pula 20 pegangan saham terbesar ASB.

pegangan asb

Dividen yang anda terima setiap tahun daripada ASB datang daripada keuntungan pelaburan dalam saham dipegang ASB.

Syarikat (saham) untung > ASB untung > Anda untung.

Sekarang juga ASB sudah mula meluaskan pelaburan ke pasaran antarabangsa untuk memberikan pulangan yang lebih kompetitf kepada pelabur.

Bagaimana nak mulakan pelaburan ASB

Dahulu, kalau nak buka akaun ASB anda perlu pergi ke cawangan atau kaunter ejen-ejen ASNB. Tapi sekarang anda boleh mula melabur di ASB secara online je.

Anda boleh mendaftar akaun ASB melalui myASNB. 

myASNB ialah portal pelaburan yang dibangunkan ASNB. Ini perkara anda boleh buat melalui myASNB:

  • Pelaburan tambahan terus ke dalam akaun unit amanah ASNB secara percuma;
  • Penetapan pelaburan secara automatik menerusi Auto Labur;
  • Menyemak rekod urus niaga dan baki pelaburan yang terkini;
  • Mengemaskini maklumat peribadi dengan mudah; dan
  • Mengurus akaun pelaburan anak berusia 18 tahun ke bawah untuk penjaga berdaftar.
  • Pengeluaran pelaburan unit amanah ASNB
  • Untuk menggunakan myASNB, pelabur perlu terlebih dahulu mengemaskini nombor telefon di mana-mana Cawangan atau Ejen ASNB sebelum mendaftar di www.myasnb.com.my

Untuk cara pendaftaran, rujuk sahaja video ini:

Bila Waktu Terbaik Melabur ASB?

Kebiasaannya, waktu terbaik untuk melabur adalah pada ketika harga sedang jatuh. Tetapi berbeza pula dengan ASB kerana harga seunit kekal RM1. 

Bermakna kita boleh melabur pada bila-bila masa sahaja. Dengan situasi sekarang ini, waktu paling tepat adalah seawal mungkin atau SEKARANG!

Bagi mereka yang memiliki anak, bukalah akaun bijak seawal mereka masih bayi. Senang cerita ada anak terus buka akaun biarpun hanya meletakkan RM10 sahaja.

ASB Financing (Pinjaman ASB) Tu Apa Pula?

Pelaburan ASB adalah straightforward. Kita simpan duit dalam ASB, kemudian ASB memberikan pulangan dalam bentuk dividen.

ASB Financing pula adalah melabur dalam ASB menggunakan pinjaman.

Kita pinjam duit daripada bank. Bank akan masukkan duit tersebut ke dalam ASB. Dan setiap bulan kita perlu membayar hutang.

Perkara penting yang anda perlu tahu adalah ASB Financing ada risiko. Sebab ia melibatkan pinjaman. Ada risiko pulangan lebih rendah daripada jumlah hutang.

Jadi, pastikan anda kaji dan buat kira-kira terlebih dahulu ya.

Berbaloi Lagi Ke Melabur ASB?

Ada orang kata sekarang dah tak berbaloi lagi melabur di ASB. Baik labur kripto, dapat beribu peratus. Saham pun beratus peratus.

Kalau nak dibanding dari segi pulangan sahaja memang tidak berbaloi. Ada banyak lagi instrumen pelaburan lain yang boleh berikan pulangan lebih tinggi seperti:

i) Amanah saham

ii) Saham

iii) Kripto

iv) Hartanah

v) REITs

Dan banyak lagi.

Tetapi kena ingat, pulangan hadir bersama risiko.

Betul kripto boleh naik sampai beribu peratus, tetapi anda boleh rugi 90% modal dalam sekelip mata.

carta ETH
Carta ETH. Sanggup tak naik roller coaster ni?
Sumber: Tradingview

Ini pula contoh pulangan bagi amanah saham.

Cuba kalau tahun anda masuk tu pulangan negatif, hilang 23%. Anda okay ke tidak?

Kalau tak sanggup hadap kerugian, jangan mengharapkan keuntungan melampau.

Jika nak bandingkan ASB, bandingkan dengan pelaburan lain yang tiada risiko. Contohnya Fixed Deposit yang beri pulangan sekitar 1-2% sahaja.

Untuk pelaburan yang tiada risiko, ASB sangatlah berbaloi!

Manfaatkan ASB Sebaiknya!

ASB adalah pelaburan yang paling sesuai untuk pemula yang baru berjinak dalam dunia pelaburan. Manfaatkan ia sebaiknya. 

Maksimum kita boleh simpan di ASB adalah RM200,000. Kalau dah penuh, kita boleh buka akaun ASB2 pula. (Baca: Apa beza ASB dan ASB2)

Gunakan ASB untuk melatih diri disiplin dan konsisten menyimpan dan melabur. Sebelum kejar pulangan paling tinggi, pelaburan paling seksi, pastikan diri kita memiliki sikap pengurusan kewangan yang baik dahulu.

Sambil kita menyimpan di ASB, boleh la belajar pelaburan yang lain seperti amanah saham dan REITs. Kemudian boleh la belajar membina portfolio pelaburan pula untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.