LaburSantai
pelaburan unit trust

Panduan Lengkap Pelaburan Unit Trust (Amanah Saham)

Isi Kandungan :

Nak labur saham tapi takde masa?

Nak labur saham tapi tak reti?

Tak perlu pening kepala, serahkan sahaja kepada pakar. Dengan pelaburan unit trust anda boleh melabur saham (dalam dan luar negara) dengan modal rendah sahaja. Bagaimana?

Sebelum kita belajar cara buat untung dengan unit trust, jom fahamkan dahulu apakah itu unit trust?

Apa itu Unit Trust (Amanah Saham) ?

Konsep pelaburan unit trust adalah:

Duit-duit pelabur akan dikumpulkan ke dalam satu tabung.

Kemudian, tabung tersebut akan dilaburkan pengurus dana.

Ke mana dilaburkan? Apa strategi pelaburan? Ia bergantung kepada objektif dan kebijaksanaan pengurus dana.

Pelabur pula perlu membayar caj pengurusan kepada pengurus dana.

Keuntungan yang diperoleh pula akan diagihkan kepada pelabur sama ada dalam bentuk pengagihan pendapatan (dividen) atau kenaikan harga.

konsep amanah saham (unit trust)

Di Malaysia ada 274 dana unit trust patuh syariah daripada 39 syarikat. Anda boleh pilih untuk labur di mana-mana dana. (Tidak semestinya pilih yang terkenal. Yang penting adalah dana mana sesuai dengan anda dan berikan keuntungan).

Bagaimana Unit Trust Buat Untung

Tugas pengurus dana adalah melaburkan duit bagi pihak anda. Ke mana ia dilaburkan?

Secara asasnya ada tiga tempat:

i) Ekuiti (saham)
ii) Bon/Sukuk
iii) Money market

Pengurus dana akan memikirkan strategi sesuai mengembangkan pelaburan. Berapa banyak nak letak dalam saham? Berapa banyak saham kena beli? Bila nak beli? Ini semua akan diuruskan oleh pengurus dana.

Pulangan Kepada Pelabur

Ada 2 bentuk keuntungan iaitu pengagihan pendapatan (dividen) dan kenaikan harga. Ada dana fokus kepada dividen dan sebaliknya.

Untuk pengetahuan anda, amanah saham dijual beli dalam bentuk unit. Contohnya Dana Agresif Ahmad berharga RM0.50 seunit.

Anda nak labur RM100 ke dalam dana ini, maka anda akan dapat 200 unit.

Selepas 3 bulan harga seunit naik kepada RM0.70. Sekarang jumlah pelaburan meningkat kepada RM140 = RM0.70 x 100, keuntungan atas kertas anda adalah RM40.

Dividen pula akan diberi dalam bentuk unit bukan jumlah ringgit. Kebiasaannya apabila dividen diumumkan, pelabur akan mendapat unit tambahan tetapi nilai pelaburan akan jatuh. Hal ini demikian kerana harga akan diselaraskan selepas pengumuman dividen.

Dana kategori ekuiti memberikan pulangan daripada kenaikan harga, dana bon/sukuk pula memberikan pulangan melalui pengagihan pendapatan dan dana imbang pula memberikan kedua-dua jenis pulangan.

Kategori Unit Trust

Pecahan mengikut kelas aset

Secara amnya amanah saham akan dilaburkan dalam pasaran ekuiti (saham), pasaran bon/sukuk dan money market. Risiko dan pulangan amanah saham bergantung kepada pasaran mana dana tersebut dilaburkan.

Berikut adalah susunan risiko dan potensi keuntungan daripada paling tinggi ke paling rendah.

Ekuiti > Bon/Sukuk > Money Market.

Ada dana yang melabur dalam pasaran ekuiti sahaja. Ada di bon/sukuk sahaja. Dan ada juga yang melabur di money market. Dan ada dana melabur dalam kedua-duanya, iaitu ekuiti dan bon/sukuk (dana ini dikenali sebagai dana imbang – balanced fund).

Pasaran ekuiti pula boleh dipecahkan kepada dua kategori:

  • Blue chip – Saham yang dikategorikan lebih stabil dan lazimnya memberikan dividen.
  • Mid/small cap – Saham bersaiz kecil dan sederhana.

Pecahan mengikut geografi

Selain pecahan mengikut kelas aset, amanah saham juga boleh dipecahkan mengikut geografi. Ada dana yang bertemakan pasaran negara maju seperti Amerika Syarikat dan ada dana yang bertemakan pasaran China serta negara-negara membangun. Lain geografi lain risiko dan pulangannya.

Berikut adalah beberapa contoh dana:

Nama DanaKategori DanaKelas AsetGeografi
Affin Hwang Aiiman Growth FundEquity – Malaysia Mid/Small-cap (Sharia)Pasaran Ekuiti mid/small capMalaysia
BIMB ESG Sukuk Fund Class ABonds – Malaysia (Sharia)Pasaran Bon/SukukMalaysia
Advantage BrazilEquity – Country FocusPasaran EkuitiBrazil
Pheim Dana MakmurBlended – Balanced (Sharia)Pasaran Ekuiti dan Bon/SukukMalaysia

Perlu Ke Melabur Di Unit Trust

Perlu atau tidak boleh dijawab begitu sahaja jika masih belum jelas dengan tujuan kita melabur. Berapa lama nak labur? Kita ni okay atau tidak dengan risiko?

Tetapi, pada saya setiap portfolio pelaburan perlu ada bahagian dilaburkan ke ekuiti (saham). Macam tim bola sepak, perlu ada penyerang. Kalau semua defender sahaja susah nak jaringkan gol betul? Susah nak menang.

Begitulah pelaburan. Kita perlu ada pelaburan risiko rendah untuk lindungi modal dan pelaburan risiko tinggi untuk kembangkan modal.

Bagaimana nak labur ke ekuiti? Ada banyak cara. Boleh beli unit trust, ETF, Robo-Advisor atau labur saham sendiri.

Ini panduan umum untuk menjawab soalan perlu ke melabur di unit trust:

i. Jika tempoh masa pelaburan lebih 5 tahun, boleh labur unit trust.
ii. Kalau malas pening kepala fasal strategi pelaburan, boleh pilih unit trust.
iii. Kalau modal tidak berapa besar (RM10,000 atau kurang RM1,000 sebulan) sesuai labur di unit trust. 

Kelebihan Unit Trust

1.  Modal rendah

Anda boleh mula melabur serendah RM1,000.

saham unit amanah

Contoh pegangan saham dalam satu dana unit trust

Bayangkan jika anda perlu membeli setiap saham di atas, sudah pasti modalnya lebih RM1,000. Jom kita buat kira-kira sikit.

SahamHarga seunit (RM)Harga 1 Lot = 100 unit (RM)
Tenaga9900
Mr DIY3300
Press Metal6600
Petronas Chemicals9900
IHH Healthcare6600
Jumlah3,300

Kalau anda nak beli saham, anda perlu beli minima satu lot. Kalau tengok jadual di atas, kita perlu ada sekurangnya RM3,300. Ini baru 5 saham. Dalam satu dana boleh ada sehingga 20-30 saham.

Begitu juga bagi bon/sukuk, anda memerlukan modal yang besar (beratus ribu) jika mahu melabur secara terus.

2.  Kepelbagaian (Diversification)

Amanah saham dilaburkan dalam pelbagai syarikat daripada pelbagai sektor. Contohnya, dalam Dana A terdapat 5 pegangan saham. Jika 1 saham jatuh harganya, belum tentu lagi saham yang lain juga jatuh.

3.  Mudah dicairkan

Pelabur boleh jual dan beli amanah saham pada bila-bila masa sahaja. Dalam masa 2-3 hari sudah boleh ditukarkan kepada tunai.

Cara Memulakan Pelaburan Unit Trust

Ada beberapa cara untuk melabur unit trust:

i. Labur secara DIY melalui platfom online
ii. Labur menggunakan ejen
iii. Labur melalui Financial Planner

Antara kelebihan melabur online adalah caj jualan rendah. Melalui ejen, caj jualan yang dikenakan sekitar 3%-5% manakala melalui atas talian caj jualan adalah 0.5-2%.

Selain itu, kita ada pilihan dana yang lebih luas. Boleh pilih dana daripada pelbagai syarikat dalam satu platform sahaja.

Kekurangan melabur secara online adalah anda perlu membuat analisa sendiri untuk memilih dana yang bersesuaian.

Tapi kalau anda rajin, tak susah pun. Ada panduan yang diberikan dalam platform ini. Malah mereka berikan fund recommendation dan webinar berkala kepada pelabur.

Anda boleh mula melabur di platform ini:

i) eunittrust (buat video loom)
ii) FSMOne (buat video loom)

Kalau nak labur dengan ejen atau financial planner okay ke? Okay sahaja. Terpulang kepada anda. Mungkin anda rasa perlukan orang lebih pakar untuk membantu anda membuat keputusan pelaburan.

Bagaimana nak pilih dana?

Bagaimana kita nak dapatkan maklumat berkaitan satu-satu dana? 

Baca Fund Fact Sheet. Apa tu? Ia ibarat geran bagi dana amanah saham. Dalam dokumen ini ada maklumat seperti:

  • Objektif Pelaburan
  • Prestasi pelaburan (Berapa pulangan)
  • Labur di mana (Aset apa, negara mana, syarikat apa)
fund fact sheet

Screener Unit Trust

Terlalu banyak unit trust yang ada dalam pasaran, sampai pening nak pilih mana satu. Ada beberapa screener atau tempat untuk mencari, membaca fund fact sheet, membaca prospektus dan lihat prestasi pelaburan. 

Berikut adalah beberapa laman web yang mudah diakses oleh pelabur untuk mencari unit amanah terbaik.

MorningStar Malaysia 
FundSuperMart Malaysia 
E Unit Trust 

6 Langkah Memilih Unit Trust?

Baca, baca dan baca – prospektus atau Fund Fact Sheet. Dapatkan maklumat ini terlebih dahulu sebelum terus membeli unit. Jika ejen tak bagi, cari di Internet. Banyak maklumat yang boleh membantu kita buat keputusan untuk membeli.

Pertama: Cari yang Patuh Syariah

Ini kewajipan seorang Muslim. Cari yang patuh syariah. Ada waktu, dana yang bukan patuh syariah bagi pulangan yang tinggi. Percayalah, syurga itu mahal. Kita melabur nak tenang dan berkat. Mudahnya di Malaysia, setiap dana yang patuh syariah akan diberitahu dengan jelas dalam prospektus. 

Kedua: Lihat Kategori

Lihat kategori dulu, bukan untungnya dulu! Periksa sama ada memang ia adalah Ekuiti, Fixed Income seperti sukuk/bon atau mempunyai kedua-duanya. Jika ada kedua-duanya, semak peratus. Adakah selesa dengan 50% Ekuiti dan 50% Fixed Income atau mahukan 70% Ekuiti dan selebihnya Fixed Income.

Ketiga: Saiz Dana Unit Amanah

Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Saiz dana terlalu besar sehingga RM1 bilion, ada potensi dana tersebut mengalami kesukaran untuk menggerakan aktiviti jual beli dan mengambil peluang dalam pasaran modal. Terlalu kecil pula (bawah RM10 juta), dana itu bakal terlepas peluang untuk mempunyai posisi terbaik mengambil peluang pelaburan. 

Keempat: Caj-caj yang Terlibat

Caj boleh menjadi punca kenapa anda tidak mendapat pulangan yang dimahukan. Perkara yang anda perlu tahu, setiap dana unit amanah mempunyai caj-caj yang berbeza. Carilah caj paling minimum. Ini caj yang selalu diperhatikan. 

● Caj Jualan (Sales Charge): Ini adalah caj paling tinggi dalam transaksi pembelian unit amanah. Baca betul-betul. Ada dana yang tidak mengenakan caj ketika pembelian (Zero Charge) tetapi caj yang tinggi ketika menjual dipanggil, Redemption Charge. Berhati-hati. Kebiasaannya antara 1.5% hingga 5%. 

● Caj Pengurusan (Management Charge): Ini adalah caj tahunan. Antara 0.5%-2.0% setahun. Ada juga dana menggunakan nama lain seperti Trailer Fees.

Pokoknya, tengoklah caj. Masa kita untung, kita dah kabur nak tengok caj-caj ini. Bila kita rugi, caj-caj ini boleh menghukum kita. Ada banyak cara untuk mengurangkan caj yang telah dipraktiskan oleh ramai orang.

Caranya adalah guna platform atas talian sedia ada. Platform atas talian seperti FundSupermart atau E-UnitTrust mempunyai caj bawah 2.0% dan dianggap berbaloi daripada menggunakan khidmat ejen yang cajnya boleh cecah sehingga 5.0%. 

Kelima: Lihat Pembahagian Aset (Sektor, Geografi dan lain-lain)

Seperti portfolio pelaburan menggunakan saham, pemilihan unit amanah juga mengambil pendekatan ini. Lihat peratus pembahagian aset. Untuk pemahaman, di bawah adalah contoh pembahagian dana mengikut sektor.

alokasi aset unit trust

Dana al-Ilham (Eastspring Investment) berdasarkan tarikh 31 Ogos 2020 mempunyai pembahagian sektor mengikut carta di atas. Ia boleh dikatakan agak seimbang untuk sektor lain tetapi berat kepada sektor perubatan (healthcare). 

alokasi aset

Ada juga dana menggunakan penerangan dengan menunjukkan peratus setiap sektor terlibat. Jika ada yang berniat untuk mempunyai dana yang ada pendedahan luar negara, kena lihat secara mendalam pembahagian peratus mengikut negara atau geografi.

unit trust luar negara

Carta pie di atas adalah contoh yang diambil daripada Dana Asia Pacific Equity MY (Eastspring Investment). Kita boleh lihat dengan jelas pembahagian setiap negara, walaupun dana ini didominasi pegangan aset jenis Ekuiti di China. 

Keenam: Lihat Benchmark atau Kayu Ukur

Benchmark atau kayu ukur adalah penanda aras kejayaan sesebuah dana. Pengurus dana sesebuah unit amanah sentiasa mempunyai motivasi untuk mancapai mandat mereka, iaitu sekurang-kurangnya sama atau melebihi benchmark yang ditetapkan. Jika dana unit amanah tersebut melebihi benchmark, cukuplah!

ASB mempunyai tanda aras (benchmark) dengan kadar Simpanan Tetap Maybank 12-Bulan (Maybank Fixed Deposit 12-Month). Apabila ASB mengumumkan pengagihan pendapatan 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit, jumlah keseluruhan adalah 4.25 sen. Ramai bersungut mengatakan bahawa pendapatan ini terlalu sedikit dibandingkan dengan zaman tahun 90-an, walhal dana ini dianggap telah berjaya gila-gila sebab telah melebihi tanda aras. Ketika itu Maybank Fixed Deposit 12-Month adalah 1.85%. Hal ini bermaksud pulangan ASB adalah sekali ganda daripada benchmark. 

Lepas ini rajin-rajin jenguk Fund Fact Sheet atau prospektus. 

Rajah di atas adalah senarai amanah saham dalam kategori dana imbang syariah. 

Di sini anda boleh bandingkan berapa pulangan setiap dana dalam kategori ini. Contohnya, Affin Hwang Aiiman Balance memberikan pulangan purata 6.32% bagi tempoh 10 tahun. Kita boleh pilih (shortlist) beberapa dana yang memberikan pulangan tertinggi sebelum membuat analisis lebih lanjut bagi setiap dana.

Strategi pelaburan unit trust

Ada 2 strategi asas melabur unit trust:

Ringgit Cost Averaging:

Teknik RCA ini adalah melabur dengan amaun yang tetap pada tarikh yang sama setiap bulan tanpa memikirkan harga yang kita beli.

Ringgit Cost Averaging

Lump Sum

Teknik Lump Sum pula adalah melaburkan satu jumlah yang besar dalam satu masa. 

DCA VS Lump Sum

Di bawah adalah contoh hipotetikal bagi perbezaan pelaburan secara RCA dan Pelaburan Secara Lump Sum.

Encik Abdul dan Encik Basir masing-masing mempunyai bajet pelaburan sebanyak RM1 000 sahaja. Encik Abdul memilih cara pelaburan RCA, sebaliknya Encik Basir meletakkan kesemua pelaburan pada bulan Januari. Mereka berdua dalam amanah saham ABC.

Encik Abdul (cara RCA):

RCA 1

Berdasarkan harga bulan April, nilai pelaburan Encik Abdul adalah 725 unit x RM2.50 = RM1,812.50.

Encik Basir (cara “lump sum”):

DCA

Berdasarkan harga bulan April, nilai pelaburan Encik Basir adalah 500 unit x RM2.50 = RM1,250

Berdasarkan senario di atas, Encik Abdul memperolehi keuntungan melebihi Encik Basir. Walau bagaimanapun, ini adalah contoh yang ringkas sahaja untuk menerangkan konsep RCA. 

Dunia pelaburan sebenar lebih kompleks. Boleh jadi Encik Basir melabur RM1 000 secara lump sum pada harga RM 1 dan memperolehi keuntungan yang lebih tinggi.

Akan tetapi, secara umumnya, RCA membantu pelabur menguruskan risiko dan teknik ini sesuai buat mereka yang sibuk.

Gabungan RCA dan Lump Sum

Saya sendiri lebih suka teknik ini. Setiap bulan saya akan laburkan satu amaun yang tetap. Kemudian bila saya nampak harga tengah murah, nampak peluang, saya akan laburkan lebih lagi.

Bila waktu terbaik nak buat lump sum? 

Bila ekonomi jatuh, ketika semua orang tengah takut. Waktu ini banyak pelaburan tengah diskaun. Warren Buffet kata “Be Fearful When Others Are Greedy and Greedy When Others Are Fearful”. Tapi berani ke kita nak labur masa ekonomi tengah jatuh? Ini anda kena cuba sendiri.

Kesimpulan

Unit trust pelaburan yang tidak terlalu sukar difahami tetapi kurang sesuai untuk pemula. Jika baru lagi nak belajar melabur, boleh mula dengan ASB terlebih dahulu.

Paling penting, baca dan kaji. Ambil masa sebelum buat keputusan pelaburan.

Dan jangan terpengaruh dengan pulangan tinggi semata-mata. Bila ada dana beri 50% setahun, berpusu-pusu orang nak masuk. Tahun depan dana itu jatuh 15%. Salah siapa? Salah kita tidak faham dana itu volatile. Masuk sebab hype, bukan sebab buat kajian.

Dalam semua dokumen unit trust ada disclaimer bertulis “Past performance is no guarantee of future results.“.

Akhir sekali, pastikan anda ada pelan pelaburan. Berapa perlu labur setiap bulan, berapa target pulangan, apa matlamat pelaburan, berapa sasaran jumlah tabung pelaburan. Dan buat semakan berkala.

Bagaimana nak buat semua ini?

Anda boleh buat sendiri DIY dengan membaca buku Labur Santai. Atau anda boleh dapatkan khidmat daripada perancang kewangan berlesen.

Kongsikan manfaat artikel ini :

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Cetusan Minda

Setiap hari jumaat saya akan hantar emel yang membuka minda berkenaan kewangan. Isikan emel dibawah ini jika berminat dapatkan emel tersebut.

.

Cetusan Minda

Dapatkan emel mingguan setiap hari jumaat berkenaan kewangan. Berikut feedback orang yang dah dapat emel.

.